Empat beregu pastikan Jalur Gemilang berkibar di Jelajah Dunia Akhir BWF


  • Podium
  • Khamis, 24 Okt 2024

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dalam kedudukan terbaik melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir BWF.

MALAYSIA akan mempunyai sekurang-kurangnya empat wakil dalam acara beregu di Jelajah Dunia Akhir BWF pada Disember kelak.

Kejohanan penutup musim yang akan diadakan di Hangzhou, China dari 11 hingga 15 Disember menyaksikan empat gandingan negara berada dalam landasan terbaik untuk mewakili Malaysia.

Empat pasangan beregu itu terdiri daripada satu beregu lelaki, satu beregu wanita dan dua beregu campuran.

BACA LAGI: 'Lama tunggu peluang begini', bekas pemain negara hampa badminton tak dipilih ke Sukan Komanwel

BACA LAGI: Kelab-kelab badminton boleh mula bersatu, anjurkan pertandingan bantu pembangunan pemain

Pasangan beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin berada dalam posisi terbaik untuk membuat penampilan pertama di Jelajah Dunia Akhir selepas memenangi tiga gelaran iaitu Terbuka China, Terbuka Jepun dan Terbuka Artik.

Manakala beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah yang sudah mengesahkan tempat sebagai wakil negara dalam kategori itu turut mempamerkan prestasi baik selepas memenangi Terbuka Hong Kong serta naib juara Terbuka Korea dan Terbuka Artik.

Dengan hanya mereka pasangan beregu wanita yang beraksi cemerlang buat negara, dijangka Malaysia mempunyai satu wakil sahaja dalam kategori tersebut di Hangzhou kelak.

Beregu campuran pula menyaksikan kedua-dua kuota negara sudah terisi menerusi pasangan Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Situasi beregu wanita mungkin akan terjadi dalam perseorangan lelaki apabila Malaysia mempunyai Lee Zii Jia sahaja sebagai wakil tunggal di Hangzhou kelak.

Sementara bagi beregu lelaki, Sze Fei-Izzuddin mungkin ditemani oleh Man Wei Chong-Tee Kai Wun kerana mereka juga berpotensi untuk layak jika berjaya kekal dalam kelompok lapan terbaik dunia.

Bagi setiap negara, mereka cuma dibenarkan mempertaruh dua wakil bagi setiap kategori di Jelajah Dunia Akhir. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram