KEMENANGAN mengejut Selangor FC dalam aksi ketiga Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two ke atas kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors mencipta buah mulut dalam kalangan pengikut bola sepak negara.
Namun, masih ada yang kurang berpuas hati dengan keputusan 2-1 direkodkan skuad Gergasi Merah, termasuk pengendali pasukan lawan yang kurang tertarik dengan gaya permainan tuan rumah.
Kim Do-heon yang memegang peranan itu sejak awal musim mengakui Selangor FC kerap melengahkan masa memandangkan mereka mendahului pada babak kedua permainan.
BACA LAGI: 'Jangan terkejut kalau Selangor naik tocang, layan JDT macam lawan Jeonbuk'
BACA LAGI: Produk Man City antara bintang tumpuan Jeonbuk perlu disekat Selangor seawal minit pertama
Do-heon tidak terkecuali mempertikaikan gaya permainan skuad Gergasi Merah. — Instagram/Jeonbuk Hyundai Motors
Pendekatan permainan sebegitu kurang disenangi pengendali berusia 42 tahun berkenaan yang tidak mahu taktikal sedemikian diterapkan dalam aksi ACL Two akan datang.
Namun, kekecewaan itu dapat dirasakan memandangkan sebelum ini, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu pernah mengalami nasib sebegitu ketika masih bergelar pemain.
Ini kerana semasa masih aktif di atas padang, Do-heon pernah mewakili Negeri Sembilan FA pada 2018 dengan dia ketika itu memasuki penghujung kariernya.
Dia yang cukup berpengalaman amat dikagumi penyokong skuad Jang kerana pernah beraksi bersama beberapa kelab, termasuk West Bromwich Albion yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Tetapi, kehadirannya tidak membawa perubahan ketara buat pasukan Liga Super itu, termasuk ketika pertemuan menentang Selangor di Stadium Cheras, Kuala Lumpur.
Do-heon (kanan) ketika berdepan skuad Gergasi Merah pada 2018. — Facebook/Selangor FC
Dalam pertembungan berkenaan, Do-heon yang berada dalam kesebelasan utama beraksi sebagai pemain tengah dengan memikul peranan merencanakan serangan menggunakan kebolehannya melakukan hantaran berkualiti.
Bagaimanapun, skuad Gergasi Merah terlalu sukar untuk ditandingi apabila mereka mencatatkan kemenangan 2-1 menerusi gol Rufino Segovia dan Sean Selvaraj sementara jaringan Negeri Sembilan disumbangkan N Thanabalan.
Do-heon yang beraksi selama 90 minit sudah tentu sedikit kecewa akan keputusan itu, namun pasti tidak menyangka perasaan itu akan sekali lagi menghantuinya kira-kira tujuh tahun kemudian.
Namun, peluang masih terbuka buatnya membalas dendam kerana Jeonbuk Hyundai Motors akan menerima kunjungan skuad Gergasi Merah dalam aksi keempat peringkat Kumpulan H di Stadium Jeonju, Korea Selatan pada 7 November depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram