Nafuzi jurulatih paling tidak dicemburui dilemanya ketika ini


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Rabu, 23 Okt 2024

Nafuzi terpaksa menghadapi 1,001 liku-liku cabaran untuk memberikan hasil terbaik buat skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

LIMA perlawanan namun belum temui kemenangan. Sesiapa saja boleh mengandaikan apa yang dirasakan ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Nanthakumar, ketika ini tapi tidak mungkin masalah dihadapinya lebih menekan daripada situasi rakan sejawatannya bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain.

Sedikit sagu hati buat Nanthakumar ialah skuad Rusa kendaliannya dapat merampas satu mata dengan gol pada saat-saat terakhir ketika mengikat Kuching City FC 1-1 di Stadium Negeri Sarawak pada Ahad lalu untuk meningkat setakuk dari tangga tercorot liga sebelumnya.

Tapi dengan penstrukturan semula NSFC pertengahan Ogos lalu selepas Azzmi Aziz disisihkan daripada jawatan ketua jurulatih, Nanthakumar belum berhasil menyuntik banyak perubahan – seri 2-2 dengan KDA FC, tewas 0-1 kepada Perak FC, seri 2-2 dengan Penang FC, tewas 2-3 kepada Kelantan Darul Naim (KDN) FC dan seri 1-1 dengan Kuching City FC -- tanpa sebarang kemenangan.

BACA LAGI: Biarlah keputusan perlawanan ceritakan mengenai keadaan kami — Yusri Che Lah

BACA LAGI: Oday digalak lebih kerap rai jaringan tunjukkan lilitan lengan bendera Palestin

461233913_976112044529512_6027554748814499209_n

Nanthakumar masih gagal membawa perubahan terhadap skuad Jang. Facebook/Negeri Sembilan FC

Di sebalik skuad Rusa itu sudah mendapatkan Sebastian Avanzini dan Ricardo Pires dalam jendela perpindahan kedua bulan lalu, persoalan kini berbangkit apakah Nanthakumar memiliki ciri-ciri untuk mengangkat NSFC ke kedudukan lebih baik dari tangga ke-12 ketika ini atau sekadar menyambung tempoh kesuraman.

Pada 3 Oktober lalu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Mustapha Nagoor, menuntut skuad Rusa meningkatkan kualiti persembahan sambil Nanthakumar diharap memantapkan lagi prestasi pasukan kerana pusingan kedua liga dijangka lebih sengit dan mencabar.

"Saya harap jurulatih dapat memberikan perhatian serius terhadap sikap pemain yang dilihat kerap hilang fokus ketika perlawanan,” katanya.

Berkongsi kesuraman serupa ialah ketua jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, yang menyerahkan kedudukannya untuk dinilai pengurusan pasukan – selepas gagal merekodkan kemenangan buat kali kelima apabila tewas 1-0 kepada Sri Pahang FC, Ahad lalu.

464111506_1109401754033811_6852105135383900013_n

Akmal Rizal masih berdepan ketidaktentuan bersama skuad Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Kekalahan kelima itu meletakkan skuad Harimau Kumbang di tangga ke-11 dengan 11 mata selepas 12 perlawanan yang menyaksikan mereka hanya meraih dua kemenangan di samping lima keputusan seri.

“Saya sudah melakukan yang terbaik yang mampu saya lakukan. Tetapi saya masih percaya dengan kualiti pemain, dengan apa yang telah dilakukan pemain sepanjang separuh musim ini.

“Kita akan terus bekerja, kita akan terus berjuang mendapatkan kedudukan yang kita mahukan. Jika terus diberi kepercayaan, saya pasti akan bersama-sama pemain untuk terus bangkit,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

“Pemain-pemain telah mengikut setiap pelan dan arahan. Mereka sudah beri yang terbaik, tidak ada sebarang rungutan daripada saya kepada pemain-pemain. Cuma mungkin kegagalan yang ada sekarang mungkin kekurangan pada diri saya,” tambahnya.

464024942_538339882240784_1323037291636454847_n

Badrul Afzan masih mencari formula terbaik buat skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Lembaga pengarah Penang FC sudah bermesyuarat pada petang Isnin dalam menentukan perancangan lanjut buat pasukan dan pengumuman rasmi sedang dinantikan sama ada khidmat Akmal Rizal akan dikekalkan atau sebaliknya.

Dilema dihadapi jurulatih selepas berakhirnya pusingan pertama liga yang merangkumi 12 perlawanan nampaknya tidak hanya terbatas kepada pasukan dalam kelompok bawahan, sebaliknya pasukan elit tidak terkecuali.

Mengambil alih daripada Tomislav Steinbruckner awal bulan ini susulan kekalahan 0-1 kepada Selangor FC pada 28 September, pemangku ketua jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali, terus dibebani masalah ketumpulan jentera serangan.

Sekadar seri 1-1 dengan PDRM FC di Kuala Terengganu dalam perlawanan pertama beliau mengendalikan pasukan, Badrul Afzan – yang dipertikaikan bekas jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim, sebagai belum bersedia untuk tugas itu – menyaksikan pasukannya rebah 0-1 kepada KDA FC di Alor Setar, Sabtu lalu.

464103821_18461364607006712_1742704380335486544_n

Nidzam Jamil juga sudah tentu runsing akan tempohnya bersama skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

“Masalah kita sekarang memanglah (penyudah). Kalau kita tengok dua perlawanan saya mengambil alih, memang masalah kita penyerang tak menjaringkan gol. Bagi saya, kecewalah dengan peluang dalam perlawanan malam ini,” katanya selepas perlawanan.

Di kem Selangor FC pula, ketua jurulatihnya, Nidzam Jamil, hanya dapat mengeluh skuad Gergasi Merah itu tidak memberi fokus sepenuhnya sehingga wisel terakhir hingga mengakibatkan keputusan seri 1-1 dengan PDRM FC hasil gol minit terakhir Aremu Timothy pada Sabtu.

“Kami perlu tahu untuk mematikan perlawanan, tidak boleh biarkan terlalu banyak peluang. Tahun lalu kami juga ada masalah yang sama, kami perlu belajar lagi,” katanya.

Namun, jika dibuat perbandingan, apalah sangat masalah Nanthakumar, Akmal Rizal, Badrul Afzan dan Nidzam yang masih mampu meningkatkan usaha mengubah nasib pasukan masing-masing berbanding dilema besar Nafuzi.

Maksudnya kemerosotan prestasi pasukan masih dalam kawalan jurulatih berkenaan dibandingkan dengan Nafuzi – masalah tunggakan gaji pemain hingga mengakibatkan merudumnya prestasi pasukan sama sekali di luar kemampuannya.

Mengakui terharu melihat pemain-pemain Kedah FC beraksi dengan semangat juang yang tinggi ketika menentang Terengganu FC pada Sabtu di sebalik situasi sukar di luar padang, jurulatih itu meluahkan rasa syukur.

459745541_557038396677342_6283977021553369337_n

Skuad Sang Kenari dibarisi pemain muda ketika berdepan KL City FC. Facebook/KDA FC

“Setiap hari kita berlatih, pemain ada bersama dengan saya. Itu adalah kesyukuran buat saya berbanding dengan perkara lain. Untuk malam ini (perlawanan bertemu Terengganu), pemain ada dengan saya. Untuk perlawanan seterusnya, saya tidak tahu pemain ada atau tiada,” katanya.

Untuk rekod, pemain-pemain skuad utama Hijau Kuning itu sudah dua kali memboikot latihan kerana masalah gaji – kali pertama sebelum perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC pada 14 September dan sekali lagi menjelang pertemuan dengan Terengganu FC itu.

Berbanding perlawanan pada 14 September apabila Kedah FC terpaksa menurunkan pemain-pemain muda sepenuhnya yang tewas 0-5, pemain-pemain senior bukan saja kembali pada waktunya untuk berdepan Terengganu FC, malah menundukkan pelawat 1-0 walaupun tanpa persiapan sempurna.

Ia harus menjadi iktibar buat pasukan-pasukan lain – sekurang-kurangnya mereka tidak menghadapi masalah gaji – bahawa tanggungjawab mereka ialah mengutamakan pasukan, baik dalam keadaan senang mahupun susah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram