SELANGOR FC memastikan cabaran Malaysia di Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) terus menyala apabila mereka mencipta kejutan menewaskan juara dua kali Asia, Jeonbuk Hyundai Motors 2-1 pada Rabu.
Persembahan baik ditampilkan Gergasi Merah ditambah dengan jaringan oleh Harith Haiqal dan Ali Olwan membuatkan penyokong Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pulang dengan gembira selepas wisel penamat.
Hasil kejayaan itu membolehkan mereka memimpin kumpulan H dengan tujuh mata dan masih belum tewas di Asia hasil dua kemenangan dan satu seri.
Perlawanan itu turut menyaksikan yang Olwan turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan (MOTM) menerusi persembahannya sepanjang 90 minit.
Pemilihan itu mendapat persetujuan ramai penyokong Selangor kerana mereka berpendapat Olwan menampilkan persembahan bertenaga dengan larian tanpa henti.
Walaupun ada yang berasakan pemain seperti Quentin Cheng dan Noaa Laine juga layak untuk memperoleh MOTM, tetapi Olwan menunjukkan dia berada di kelas tersendiri.
Malah, pemain yang sering menerima kritikan seperti Ronnie Fernandez sepatutnya meningkatkan kualiti permainannya supaya gandingan serangan Selangor terus ampuh dalam setiap perlawanan.
"Terbaik, (main) 90 minit pun stamina unlimited, macam tak ada jantung. Dah nak habis perlawanan pun masih (lari) berdesup," kata penyokong bernama Fareez Razali.
"Memang power Ali Olwan dengan taktikal Nidzam Jamil, memang seronok tengok perlawanan ni. Terbaik Selangor!," komen Azizzuddin Rashid.
"Bagilah Olwan ni jadi penyerang pula, rehatkan Fernandez tu sekejap, berat tengok dia tu," ujar Wan Aba. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram