SELANGOR FC meraih tiga mata berharga selepas mengatasi Jeonbuk Hyundai saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor pada Rabu.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, skuad kendalian Nidzam Jamil itu tampil dengan persembahan berbeza apabila berjaya menembusi benteng pintu gawang pelawat menerusi jaringan kapten pasukan, Harith Haiqal pada minit ke-30.
Selang dua minit kemudian, penyerang import Gergasi Merah, Ali Olwan menambah duka buat Jeonbuk.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya tak akan cuci tangan sebulan', peminat cilik sepak takraw teruja salam Syahir Rosdi
BACA LAGI: 'Lama tunggu peluang begini', bekas pemain negara hampa badminton tak dipilih ke Sukan Komanwel
Begitupun, kealpaan benteng pertahanan Gergasi Merah akhirnya memberi peluang kepada pasukan lawan untuk mencetak satu gol hasil tandukan Kwon Chang-hoon yang menerima hantaran lintang Jung Woo-jae pada minit ke-40.
Bersambung babak kedua, Gergasi Merah yang enggan mengecewakan penyokong yang hadir dilihat berjaya mengekang serangan bertali arus wakil kelab Korea Selatan itu.
Kekentalan benteng pertahanan yang diketuai oleh Harith Haiqal membuahkan hasil apabila tiada jaringan berjaya dicetak pada babak kedua.
Bagaimanapun, ketika aksi berbaki seminit untuk ditamatkan, Selangor FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Yohandry Orozco dilayangkan kad kuning kedua.
Dalam pada itu, ramai penyokong Merah Kuning itu berharap agar layangan kad merah yang dilayangkan kepada Orozco itu dijadikan pengajaran pada perlawanan akan datang.
"Last minit dapat kad merah, harap lepas ni tiada lagi kesilapan mudah seperti itu," Azlan Azim.
"Nasib baik menang, buat kesilapan mudah pula Orozco ni," kata Mierul Hafiz.
Sementara itu, tular di media sosial yang dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Fadhirul Shuhaimi, memaparkan kelibat pemain tengah Selangor FC, Noor Rawabdeh yang turut hadir menyaksikan aksi tersebut.
Dalam video tersebut, bintang import Jordan itu tetap hadir ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukannya itu.
Kehadirannya nyata tidak sia-sia apabila skuad Gergasi Merah berjaya meraih tiga mata berharga di laman sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram