Produk Man City antara bintang tumpuan Jeonbuk perlu disekat Selangor seawal minit pertama


  • Podium
  • Rabu, 23 Okt 2024

Sesi latihan Jeonbuk menjelang perlawanan menentang Gergasi Merah pada Rabu.

BELUM mula bertempur, tonggak Selangor FC iaitu Noor Rawabdeh terpaksa melupakan hasrat untuk membantu pasukannya dalam aksi getir bertemu Jeonbuk Hyundai bagi saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor pada Rabu.

Skuad Gergasi Merah mengesahkan Rawabdeh mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di lutut kanannya susulan kecederaan pada aksi seri 1-1 menentang PDRM FC di Stadium Selayang, Selangor bagi saingan Liga Super 2024/2025.

Rawabdeh difahamkan perlu berehat selama sembilan bulan, ia pastinya akan merencatkan persiapan Gergasi Merah bagi menghadapi baki saingan Liga Super 2024 serta kempen ACL2 yang dijangka Selangor akan mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.

BACA LAGI: 'Boleh menang tapi jadi seri' legend Selangor gesa Nidzam Jamil atasi masalah konsistensi

BACA LAGI: Pengamal media tuntut penjelasan rasmi pegawai Selangor didakwa hambur kata kesat

Terpaksa melupakan seketika kelibat Rawabdeh di atas padang, skuad kendalian Nidzam Jamil perlu meneruskan misi mereka untuk meraih tiga mata dalam aksi getir bertemu wakil Korea Selatan berkenaan.

Untuk memastikan kemenangan kedua dapat diraih dalam saingan Kumpulan H ACL2, Gergasi Merah harus memastikan tiga pemain utama Jeonbuk dapat disekat semasa kedua-duanya bertemu pada Rabu;

1) Moon Seon-min

Penyerang sayap kiri berpengalaman Jeonbuk, Moon Seon-min menjadi antara pemain yang bakal meresahkan barisan pertahanan Gergasi Merah lagi-lagi di posisi bek kanan kerana perlu memikirkan cara terbaik buat menyekat gerak-gerinya.

Pemain berusia 32 tahun berkenaan sudah mula bersama Jeonbuk pada musim 2019 dan musim ini, Seon-min masih konsisten menampilkan persembahan cemerlang apabila meledak sembilan gol dan empat hantaran bantuan.

Seon-min yang pernah beraksi untuk dua kelab Sweden, Ostersunds dan Djurgardens itu juga menjadi pilihan di peringkat antarabangsa apabila mengutip 16 penampilan bersama Korea Selatan.

Tonggak berketinggian 1.72 meter berkenaan juga boleh digunakan di bahagian sayap kanan dan sebagai pemain tengah menyerang. Jika dilihat dalam aksi menentang Muangthong United dan Cebu, Seon-min beraksi sebagai sayap kanan.

2) Tiago Orobo

Seorang lagi pemain di bahagian serangan yang boleh memberikan ancaman buat gawang Gergasi Merah dalam aksi menentang pasukan bimbingan Kim Do-heon adalah penyerang tengah kelahiran Brazil iaitu Tiago Orobo.

Selepas dua musim bersama kelab Korea Selatan Gyeongnam FC dan Daejeon Hana Citizen, Orobo menyertai Jeonbuk Hyundai pada 27 Disember 2023. Pembelian Orobo memberi pulangan lumayan susulan sudah meledak enam gol dalam 29 aksi K League.

Orobo bukanlah seorang penyerang tangkas yang mudah menewaskan pemain pertahanan tetapi cenderung untuk kekal di hadapan untuk membolehkannya menjaringkan gol di dalam kawasan penalti.

Dengan Orobo masih tidak mencetak sebarang gol buat Jeonbuk bagi saingan ACL2 setakat ini, penyokong pasukan berkenaan yakin penyerang berusia 30 tahun itu akan bermotivasi besar untuk membuka akaun gol.

3) Nana Boateng

WhatsApp Image 2024-10-22 at 18.58.56

Boateng berperanan sebagai pemain tengah bertahan.

Nana Boateng melengkapkan perpindahannya ke Jeonbuk pada pertengahan musim lepas selepas berkelana di beberapa kelab seperti CFR Cluj (Romania), Kuopion Palloseura (Finland), Colorado Rapids (Amerika Syarikat) dan Stromsgodset IF di Norway.

Produk Akademi Manchester City itu tiba dengan tanda harga termahal kelab apabila Jeonbuk membayar sekitar RM9.4 juta (€2.00m) kepada CFR Cluj bagi menggunakan khidmatnya di bahagian tengah bertahan.

Yuran perpindahan itu diusulkan CFR Cluj selepas Boateng merupakan watak utama yang memainkan peranan penting dalam membantu pasukan itu merangkul kejuaraan Liga Romania pada 2022.

Selain pengalaman, tubuhnya yang sasa sudah tentu menjadi masalah ketika situasi pertembungan bola di udara selain usaha menggerakan serangan oleh barisan tengah Selangor FC.

Namun, sekiranya skuad Gergasi Merah mampu melepasi pemain berusia 30 tahun itu, mereka pasti akan merekodkan keputusan bermakna dengan sekurang-kurangnya satu mata mampu diperolehi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram