NAMA Nidzam Jamil terus menjadi sasaran kritikan penyokong Selangor FC selepas persembahan mereka bertemu PDRM FC dalam Liga Super.
Walaupun menguasai sebahagian besar perlawanan namun kelekaan pada penghujung perlawanan membuatkan Selangor menggigit jari apabila mereka seri 1-1.
Keputusan itu membuatkan penyokong berasa tidak senang, ditambah dengan persembahan Selangor yang agak goyah dalam beberapa perlawanan termasuk menentang lawan lebih mudah seperti Dynamic Herb Cebu dalam Liga Juara-Juara AFC 2.
BACA LAGI: Mentaliti 'relax' makan diri bengangkan penyokong, Selangor terlepas 3 mata lawan PDRM
BACA LAGI: Pengamal media tuntut penjelasan rasmi pegawai Selangor didakwa hambur kata kesat
Muncul suara-suara yang tidak berpuasa hati, tidak kurang juga mahukan Nidzam berundur sementara musim sedang berjalan. Adakah desakan itu wajar?
Jawapannya tidak menurut legenda Selangor, Reduan Abdullah. Baginya, penyokong perlu lebih bersabar dan tidak terburu-buru dalam mendesak agar Nidzam disingkirkan.
Keputusan seri bertemu PDRM buatkan penyokong Selangor tidak berpuas hati.
"Bagi saya, terlalu cepat untuk ambil tindakan. Pada saya belum lagi, sekurang-kurangnya tunggulah sehingga habis musim.
"Pada saya, pengurusan tak perlu tergesa-gesa untuk membuat keputusan mengenai Nidzam walaupun ada segelintir penyokong mendesak dia disingkirkan," kata Reduan kepada Majoriti.
Walaupun berasakan tiada keperluan mendesak untuk menggantikan Nidzam, tetapi Reduan beranggapan yang masih ada perkara perlu dibaikinya.
Bagi Reduan, Selangor berada dalam keadaan yang memuaskan tetapi isu konsistensi ketika beraksi seharusnya menjadi keutamaan Nidzam untuk dibaiki kerana itulah masalah yang menghantui Gergasi Merah.
"Dia perlu baiki corak permainannya. Lihat saja perlawanan-perlawanan yang lalu, perlawanan yang sepatutnya menang jadi seri, benda ni boleh kata tak konsistenlah.
"Sekarang ini, Nidzam perlu pastikan pemain-pemain berada pada tahap maksimum. Dalam setiap perlawanan mereka mesti konsisten.
"Macam penyerang, mereka mendapat hantaran yang baik tapi tidak hasilkan gol, peluang itu tidak datang selalu. Kalau ia tidak diambil, ia tidak akan datang lagi," ujar Reduan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram