Bergson calon terbaik, gandingan berbisa Arif Aiman ketika lawan Gwangju


  • Podium
  • Isnin, 21 Okt 2024

Gandingan Bergson (kiri) dan Arif Aiman (kanan) boleh gegarkan gawang Gwangju.

UJIAN terbesar setakat ini buat Johor Darul Ta'zim (JDT) di pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) apabila mereka berdepan wakil Korea Selatan iaitu Gwangju pada Selasa (pukul 6 petang waktu Malaysia).

Pertembungan epik itu dianggap signifikan kerana pemenang perlawanan itu berpeluang menjadi pendahulu carta ACLE bagi zon Timur.

Sebagai rekod, hanya Gwangju mempunyai rekod kemenangan 100 peratus selepas mereka menewaskan Yokohama F. Marinos dan Kawasaki Frontale.

BACA LAGI: Manfaat dapat 'cuti rehat' liga, JDT bertolak awal ke Korea Selatan

BACA LAGI: [VIDEO] Akui Selangor bukan lawan mudah, Gabriel Nistelrooy beri kredit buat skuad muda JDT

Berdepan lawan sukar, semestinya JDT perlu menurunkan barisan terbaik agar mereka berjaya memperoleh sesuatu daripada perlawanan tersebut.

Disebabkan itu, penyokong JDT mengharapkan agar penyerang berbisa, Bergson da Silva diberikan peluang untuk bermain sebagai kesebelasan utama.

Setakat ini, penyerang veteran itu cuma beraksi selama 47 minit dalam dua aksi ACLE buat JDT. Statistik itu sangat kontra dengan penglibatannya dalam Liga Super dengan pemain itu beraksi 717 minit merentasi sembilan perlawanan.

Menyedari ketajaman dimiliki Bergson serta keserasiannya bersama Arif Aiman membuatkan penyokong JDT mahu dia diturunkan berdepan cabaran getir Gwangju berbanding meletakkan Juan Muniz dan Jorge Obregon.

"Harap-harap Bergson masuk awal," kata penyokong bernama Firdaus Shukor.

"Tak boleh ke mainkan Bergson dan Arif Aiman untuk kesebelasan utama? Mesti rancak. Bergson tahun Arif nak buat apa dan Arif tahu Bergson nak apa. Heberty pun ngam dengan Bergson. Mereka ni perlu rembat bola sebab kita perlukan gol," ujar Ajib Sengat.

Gandingan Bergson-Arif sememangnya diakui sukar untuk dihalang apabila di peringkat domestik, malah mereka juga sudah membuktikannya beberapa musim semasa beraksi dalam perlawanan peringkat Asia.

Tidak salah jika Hector Bidoglio menurunkan mereka dalam misi meraih kemenangan di Korea Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram