Jaga-jaga Kedah, 3 'on-form' bekas bintang mampu bantu Sri Pahang 'gigit' Sang Kenari


  • Podium
  • Jumaat, 20 Sep 2024

Sherman (kanan) berpotensi untuk membocori pintu gol Kedah.

KEDAH Darul Aman FC kembali turun dengan skuad senior mereka apabila berdepan dengan Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super pada Jumaat.

Selepas menggunakan skuad muda berdepan Kuala Lumpur City FC, Nafuzi Zain mempunyai barisan terkuatnya untuk berdepan Sri Pahang dan kembali ke landasan kemenangan.

Namun begitu, dengan kem Sri Pahang dilaporkan kembali ceria apabila akaun bank kembali terisi, mereka bersama tiga bekas bintang Kedah mungkin akan menghantui Sang Kenari:

BACA LAGI: Game Sri Pahang jadi penentu, Nafuzi Zain, Fauzi Saari dicanang makin hampir tinggalkan Kedah?

BACA LAGI: Belasah PDRM 5-1, penyokong Sri Pahang anggap akaun pemain sudah 'masyuk' dengan gaji

Kpah Sherman

Penyerang dari Liberia itu bukan nama asing dalam bola sepak tempatan terutamanya buat penyokong Kedah dan Sri Pahang.

Kini sudah menghasilkan 90 gol bersama pelbagai kelab di Malaysia, penyerang itu dalam motivasi terbaik untuk mencapai jumlah 100 jaringan dan sudah pasti mahu menjadikan Kedah sebagai mangsanya.

460002954_18459495091031124_6601483592433411215_n

Sherman (kiri) semakin hampir dengan bilangan 100 gol di Liga Malaysia.

Motivasi Sherman berada pada tahap terbaik dengan dia menjaringkan dua gol ketika Sri Pahang membenam cabaran PDRM FC sebelum berdepan Kedah.

Oleh itu, pertahanan Kedah harus mengawal rapi pergerakannya. Jika dibiarkan bebas, mungkin gawang mereka akan dibolosi dengan kualiti penyudah bekas penyerang itu.

David Rowley

Satu lagi nama yang pernah menyarung jersi Kedah dan kini bersama Sri Pahang adalah David Rowley.

Pemain warisan negara itu mungkin sudah jarang diturunkan namun begitu kualitinya sebagai pemain tengah masih lagi tidak boleh dinafikan dan mampu membantu Sri Pahang memperoleh kemenangan.

Dia juga sudah mempunyai sembilan gol serta tiga bantuan gol untuk Sri Pahang sepanjang kariernya. Oleh itu, Kedah tidak boleh memandang rendah kualiti yang ada padanya.

Sekiranya diturunkan oleh Fandi Ahmad, pasti Rowley mampu memberikan bahaya kepada Kedah untuk Sri Pahang.

Manuel Hidalgo

Nama bekas pemain Kedah yang boleh menghantui mereka ketika aksi bertemu Sri Pahang adalah Manuel Hidalgo.

Pemain sayap itu tidak dinafikan kualitinya dengan kelincahannya serta ketajaman dalam melakukan bantuan gol sentiasa menjadi igauan pihak lawan.

460105656_18459495100031124_8457198135851184081_n

Hidalgo boleh menghantui Kedah dengan kualiti tekniknya.

Turut menjaringkan gol menentang PDRM, pastinya prestasi Hidalgo kembali dalam keadaan baik selepas berjaya membantu kelabnya meraih kemenangan besar.

Apa yang pasti, tidak kira siapa pun yang diturunkan, Kedah harus berhati-hati untuk mengelak daripada dimalukan Sri Pahang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram