Mentaliti 'relax' makan diri bengangkan penyokong, Selangor terlepas 3 mata lawan PDRM


  • Podium
  • Sabtu, 19 Okt 2024

Pemain PDRM meraikan jaringan minit akhir mereka untuk mengikat Selangor.

SELANGOR FC terpaksa menggigit jari selepas mereka melepaskan gol minit akhir apabila berdepan PDRM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selayang pada Sabtu.

Bermain dengan corak menyerang dari awal permainan, pelaburan Selangor dilihat membuatkan hasil apabila mereka berjaya mendahului menerusi jaringan Alvin Fortes pada minit ke-16.

Selangor meneruskan rentak serangan sehingga ke separuh masa kedua untuk memastikan tiga mata dalam genggaman.

BACA LAGI: Afro, Agyarkwa sudah asah 'kuku', sedia turun jika Selangor perlukan bertemu PDRM

BACA LAGI: [VIDEO] Akui Selangor bukan lawan mudah, Gabriel Nistelrooy beri kredit buat skuad muda JDT

Tugas mereka dilihat semakin mudah apabila PDRM terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Aliff Najmi mengalami kecederaan dan tidak boleh meneruskan permainan.

Ketika itu, PDRM sudah menggunakan kesemua lima pertukaran dan tidak boleh menukar pemain lagi.

Akan tetapi, peluang itu gagal dimanfaatkan oleh Selangor dengan mereka terus tidak berjaya menyempurnakan peluang yang terhidang.

Sehinggalah masa kecederaan separuh masa kedua, mereka tersentak dengan jaringan penyamaan Aremu Timothy yang mengikat kedudukan 1-1 sekali gus memusnahkan impian Selangor meraih kemenangan.

Melihat situasi tersebut, penyokong Selangor jelas kecewa dengan mereka menganggap pemain Gergasi Merah mempunyai mentaliti relaks apabila mendahului.

Ia jelas sekali memakan diri apabila mereka cuma mendahului dengan satu gol dan berdepan pasukan seperti PDRM.

"Main-main sangat, ambil kau ubat," kata penyokong bernama Izzuddin Juddin.

"Seronok sangat nak keputusan 1-0 je, mentaliti tolonglah ubah. Jurulatih relaks, pemain pun sama. Kalau jurulatih push, pemain pun akan push," komen Fakhrur Razi pula.

"Betul-betul buang game malam ni. Sudah ada 80 peratus penguasaan bola nak apa lagi?," pertikai Ayeem Rahim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram