ARSENAL mengalami kekalahan pertama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila tumpas kepada Bournemouth dalam aksi yang berlangsung di Stadium Vitality pada Ahad.
Gol daripada Ryan Christie dan Justin Kluivert pada babak kedua menyaksikan skuad bimbingan Mikel Arteta kecundang buat kali pertama dengan ia meranapkan peluang untuk terus memberi tekanan kepada pendahulu, Liverpool.
Namun, bagi penyokong kelab London berkenaan, mereka beranggapan keputusan itu boleh dielak sekiranya mereka tidak beraksi dengan 10 pemain susulan layangan kad merah terhadap bek tengah, William Saliba.
BACA LAGI: Lee Mason berisiko dipecat gara-gara 'rompak' kemenangan Arsenal
BACA LAGI: Dapat rekomen David Beckham, pengurus kelab EPL sedia ganti Ten Hag kendali Man United
William Saliba dilayangkan kad merah pada babak pertama permainan. — Agensi
Keputusan itu diambil selepas pemain Perancis berkenaan bertindak menarik lawannya dengan pengadil berasakan hukuman terbabit wajar kerana ia menghalang peluang cerah untuk menjaringkan gol.
Perasaan berkenaan dikuatkan lagi apabila orang ramai berasakan layangan kad merah itu dibuat kerana terdapat campur tangan daripada bekas pengadil, Howard Webb.
Dalam satu rakaman yang kini tular, Webb yang kini merupakan ketua badan pengadilan di negara tersebut kelihatan berkata sesuatu menggunakan alat komunikasi sehingga menyaksikan pengadil perlawanan melakukan semakan di video bantuan pengadil (VAR).
Meskipun tidak mengetahui mesej yang disampaikan, rata-rata penyokong Arsenal berasakan terdapat campur tangan dilakukan sehingga menyebabkan kad merah dilayangkan.
Namun, menyedari spekulasi mula memenuhi media sosial, pihak berkepentingan tampil memberi jawapan dengan menyatakan Webb hanya mendengar perbincangan antara pengadil dan pembantu di dalam bilik VAR.
"Apa yang kami fahami adalah dia sedang memantau perdebatan antara mereka yang ditugaskan di dalam bilik VAR dan pengadil di atas padang. Namun, dia tidak memberikan sebarang pandangan mengenainya.
"Ini kerana dia tidak mempunyai kuasa untuk bercakap dengan pegawai bertanggungjawab yang akan memberikan keputusan perlawanan," kata David Jones yang merupakan penyampai di stesen televisyen Sky Sports.
Perbincangan Howard Webb terus menimbulkan pelbagai persoalan.
Walaupun klip yang tular memaparkan Webb ada berbincang menerusi alat komunikasi peribadinya, perkara yang diperkatakan masih tidak didedahkan kepada umum.
Tetapi, dengan pihak pengurusan segera menepis dakwaan itu, ini sekali gus menceritakan tahap profesionalisme pengadil di EPL yang merupakan salah satu liga terbaik dalam dunia.
Layangan kad merah dihadapi Saliba menyaksikannya digantung satu perlawanan, iaitu ketika The Gunners menerima kunjungan Liverpool pada Isnin, iaitu selepas aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) berdepan Shakhtar Donetsk dari Ukraine. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram