
BERITA gembira buat kem Manchester United selepas bek tengah muda mereka, Leny Yoro berkongsi perkembangan positif mengenai kecederaannya menerusi platform media sosial peribadinya pada baru-baru ini.
Menerusi hantaran yang dimuat naik, bintang muda berusia 18 tahun berkenaan berkongsi video dirinya sedang menjalankan proses rehabilitasi dengan dilihat berlari di atas treadmill.
'Dalam perjalanan pulang' ditulis sebagai kapsyen pada video berkenaan dengan sepotong ayat itu menjadi jaminan kepada penyokong yang rata-rata sudah tidak sabar menanti kehadiran Yoro bersama Man United.
BACA LAGI: Jumpa kelab dulu sebelum lawan New Zealand tetap bagus untuk Harimau Malaya — Pau Marti
BACA LAGI: [VIDEO] Chris Wood beri amaran awal buat Harimau Malaya selepas robek gawang Chelsea
Sehingga kini pemain antarabangsa Perancis tersebut masih tidak sempat membuat penampilan pertama bersama Man United susulan dia perlu melalui fasa berehat selama tiga bulan selepas cedera kakinya.
Kecederaan bek tengah itu dialami ketika berdepan Arsenal pada aksi persahabatan pramusim hujung minggu lalu. Nasib malang menimpa Yoro juga menyebabkan penyokong melabelnya sebagai pemain 'kaki kaca'.
Dalam pada itu, pengendali Man United, Erik Ten Hag sebelum ini berkongsi bahawa proses rehabilitasi Yoro berjalan dengan baik dan dia akan kembali secepat mungkin ke dalam skuad untuk memulakan latihan bersama.
Kembalinya Yoro ke kem juga boleh menjadi jalan penyelesaian untuk menyelamatkan Ten Hag daripada digugurkan menjadi jurulatih Man United. Pemain itu boleh menjadi pertaruhan utama di bahagian pertahanan The Red Devils.
Walaupun sudah berbelanja besar dengan membawa masuk beberapa pemain namun ia tidak memberikan pulangan sepatutnya kepada pasukan berkenaan sehingga laungan Ten Hag patut digugurkan mulai membanjiri media sosial.
Untuk rekod, bekas pemain pertahanan Lille itu melengkapkan perpindahan ke Man United selepas kelab Liga Perdana Inggeris itu bersetuju dengan bayaran sebanyak £50 juta (RM303.33 juta) pada Julai lepas.
Penghijrahannya dianggap sebagai perpindahan berprofil tinggi buat pemain muda susulan Yoro lebih memilih untuk bersama Man United walaupun dia mendapat tawaran daripada kelab gergasi La Liga, Real Madrid. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram