KETUA badan pengadil liga (PGMOL), Howard Webb digesa supaya memecat pengadil, Lee Mason yang mengadili perlawanan antara Arsenal dan Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates, London pada Sabtu.
Sportsmail menerusi laporan eksklusif mendedahkan bahawa Mason terlupa untuk menggunakan garis ofsaid ketika insiden penyamaan gol Brenford pada minit ke-74.
Mason sebagai pegawai video bantuan pengadil (VAR) melakukan kesilapan manusia dalam penilaian situasi ofsaid ketika perlawanan berkenaan.
Kecuaian itu menyebabkan Arsenal kehilangan dua mata berharga dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga selepas hanya dibezakan tiga mata dengan Manchester City yang menghuni tangga kedua.
Rentetan insiden kontroversi itu, bekas ketua PGMOL, Keith Hackett menggesa agar Mason dipecat.
"Perkara pertama yang Howard (Webb) perlu lakukan ialah memecatnya.
"Tiada tempat buatnya dalam bola sepak. Dia patut tahu apa yang diperlukan ketika pengadilan VAR," katanya menerusi penulisan kolum di Telegraph.
John Brooks juga melakukan kesilapan dalam proses pengadilan VAR melibatkan perlawanan antara Brentford dan Crystal Palace. — Agensi
Hackett menyifatkan piawaian dalam EPL berkaitan VAR masih jauh ketinggalan dan mahu Webb mengambil pendirian tegas untuk mengubah situasi tersebut.
Sementara itu, Webb telah memanggil semua pegawai perlawanan ke Stockley Park untuk sidang kemuncak tergempar selepas dua kesilapan VAR yang memalukan.
Selain kesilapan Mason, seorang lagi pegawai VAR, John Brooks turut tersilap melukis garis ofsaid pada pertahanan Crystal Palace sekali gus membatalkan gol Brighton dalam pertemuan kedua-kedua kelab itu.
Webb mengakui kecuaian tersebut dan memohon maaf kepada kedua-dua pasukan.
PGMOL sedang menilai bentuk tindakan yang menanti kedua-dua pegawai VAR berkenaan. Ini termasuk pemecatan sekiranya badan pengadil liga berasakan kesilapan yang dibuat boleh dijadikan asas kepada pemecatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram