[VIDEO] Bekas bintang flop Man United ledak gol lepas 2 tahun 'ghaib'


  • Podium
  • Khamis, 03 Okt 2024

Gol terakhir Van De Beek ialah pada Mei 2022 ketika dia dipinjamkan ke Everton. — Agensi

PASUKAN Sepanyol, Girona FC tewas di laman sendiri apabila mencatat keputusan 2-3 di tangan Feyenoord Rotterdam dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Estadi Municipal de Montilivi dekat Girona, Sepanyol pada Khamis.

Gagal meraih tiga mata ketika menentang wakil dari Belanda itu merupakan kekalahan kedua Girona dalam saingan UCL musim ini, selepas turut tewas 0-1 kepada Paris Saint Germain (PSG) pada perlawanan pertama.

David Lopez meletakkan Girona di hadapan pada minit ke-19 namun empat minit kemudian, pemain tengah mereka, Yangel Herrera mencetak gol ke gawang sendiri dan secara tidak langung membantu Feyenoord menyamakan kedudukan pada minit ke-23.

BACA LAGI: Robek gawang PSG, Havertz terbayang Arsenal mampu julang trofi Liga Juara-Juara

BACA LAGI: [VIDEO] Dua fans kelab bertelagah, vape atau coklat dipegang bek Arsenal masa jumpa PSG

Pemain antarabangsa Belanda, Antoni Milambo berhasil membantu meletakkan Feyenoord kembali di hadapan pada minit ke-33, sekali gus menutup separuh masa pertama dengan keputusan 2-1.

Separuh masa kedua dibuka dengan jaringan gol dari arkitek Girona, Donny Van De Beek yang menyamakan kedudukan pada minit ke-73 namun ia tidak bertahan lama apabila enam minit kemudian gawang tuan rumah kembali dibolosi.

Meskipun tewas di laman sendiri namun ia merupakan malam bersejarah buat Van De Beek apabila meledak gol pertama selepas dua tahun 'ghaib' daripada mengegar gawang pasukan lawan.

Van De Beek yang sebelum ini berhijrah dari Manchester United pada awal musim akhirnya berhasil meraih minit permainan secukupnya bersama Girona selepas tiga musim hambar dengan skuad The Red Devils.

Sejak menyertai Man United pada 2020, Van De Beek hanya diturunkan sebanyak enam kali sebagai kesebelasan utama dan ditimpa pula dengan isu kecederaan sehingga tidak pernah benar-benar memenuhi jangkaan seperti di Ajax.

Selepas tempoh pinjaman di Eintracht Frankfurt pada separuh kedua musim lalu, pemain yang kini berusia 27 tahun itu memilih untuk meninggalkan Man United pada awal tahun ini dan bergabung bersama Girona.

Untuk rekod, gol terakhir Van de Beek ialah pada Mei 2022 ketika dia dipinjamkan ke Everton. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram