Kelab-kelab badminton boleh mula bersatu, anjurkan pertandingan bantu pembangunan pemain


  • Podium
  • Ahad, 20 Okt 2024

Lebih banyak pertandingan untuk pemain muda boleh membantu pembangunan mereka.

DALAM membentuk seorang atlet yang berjaya, pendedahan itu sememangnya penting kerana ia dapat memberikan gambaran kepada mereka bagaimana cabaran sebenar apabila bergelar pemain senior.

Tidak kira dalam mana-mana sukan sekali pun, pendedahan di peringkat junior menerusi pertandingan seharusnya diberikan dengan secukupnya.

Begitu juga dengan badminton, pendedahan secukupnya dari segi penyertaan pertandingan dapat membantu pembangunan bakat pemain muda.

BACA LAGI: Pemain senior terbeban terlalu banyak pertandingan tapi junior kena berebut kejohanan

BACA LAGI: Pentingnya liga seperti Purple League, fokus perkembangan 'ubi muda' badminton berbanding bintang senior

Sebelum ini, wujud situasi kekurangan pertandingan bagi pemain junior sedangkan bintang senior negara mengalami 'kekejangan' akibat jadual terlalu padat sewaktu menyertai Jelajah Dunia BWF.

Namun perkara tersebut mula diatasi dengan kembalinya saingan Liga Ungu Malaysia atau Purple League yang mengubah misinya untuk mengutamakan pembangunan pemain muda.

462688791_18272636074218462_477263605304450674_n

Kelab-kelab badminton tempatan boleh wujudkan kejohanan berskala kecil antara mereka bagi pembangunan pemain.

Walaupun pertandingan seperti Purple League melakukan kemunculan semula, kejohanan-kejohanan lain harus terus diadakan supaya arena badminton Malaysia terus mekar.

Bagi pemerhati badminton tempatan, Norbakti Alias, dia berpendapat tidak kira kedua-dua pihak sama ada persatuan atau kelab-kelab badminton, mereka boleh menyumbang kepada pembangunan badminton negara menerusi lebih banyak penganjuran pertandingan.

"Untuk lebih banyakkan pertandingan, kelab-kelab badminton boleh bergabung untuk wujudkan satu pertandingan antara mereka.

"Kalau tidak dapat buat untuk tahap nasional pun, kelab-kelab ini boleh adakan pertandingan dalam skala lebih kecil," katanya kepada Majoriti.

Penganjuran pertandingan badminton di pelbagai lapisan dilihat penting sama ada nasional atau tahap lebih rendah seperti negeri dan daerah.

Ekosistem badminton seharusnya berjalan dengan lancar baik dari akar umbi sehingga tahap tertinggi jika kita benar mahu menghasilkan pemain berkualiti untuk menggoncang dunia di masa depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram