SEBAGAI salah satu negara utama dalam sukan badminton, kita sentiasa menghasilkan bakat-bakat baharu untuk menjadi juara dunia.
Jika dahulu kita ada Datuk Lee Chong Wei, kini Malaysia mempunyai Lee Zii Jia untuk perseorangan lelaki. Sebelum ini, kita boleh berbangga dengan Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong, sekarang negara ada Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Wujudnya mereka adalah hasil daripada penghasilan bakat-bakat yang diterajui oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Namun begitu, daripada ramai yang dihasilkan, tidak semua berjaya menjadi bintang handalan.
BACA LAGI: Tak perlu pisahkan Pearly-Thinaah, BAM mesti kekalkan pakar psikologi elak 'bergaduh' semula
Setiap tahun, pasti ada nama yang terpaksa BAM lepaskan atau gugurkan apabila mereka mencapai umur senior di Akademi Badminton Malaysia (ABM). Untuk 2024, seramai 13 pemain dari perseorangan lelaki ke beregu campuran mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kebangsaan.
Melihat kepada perkara ini, apakah punca kepada mereka terpaksa disisihkan daripada BAM? Adakah kerana kurangnya pertandingan di peringkat remaja dekat negara kita?
Bagi legenda badminton negara, Datuk James Selvaraj, dia berasakan jumlah pertandingan yang kurang untuk peringkat remaja membuatkan ada pemain tidak dapat menyerlahkan bakat dimiliki mereka.
"Kalau di peringkat senior, jumlah pertandingan terlalu banyak sampaikan pemain mengadu dan terpaksa memilih kejohanan untuk mereka masuk. Malah, Datuk Lee Chong Wei sendiri pernah cakap kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengenai ini.
"Tapi lain pula di peringkat junior, saya rasakan yang jumlah pertandingan di peringkat remaja lebih kurang daripada peringkat senior," kata James.
Datuk James Selvaraj.
Menurut James, para pemain muda yang berada dalam jagaan BAM adalah ramai dan sekitar 50 orang. Oleh itu, persaingan nyata sukar untuk mereka mendapatkan tempat ke skuad senior.
Dengan kurangnya pertandingan, ia menyukarkan pemain untuk menyerlahkan bakat yang ada. Ia belum lagi mengambil kira prestasi pemain tersebut apabila diberikan peluang untuk bertanding.
Menurut James, bagi 13 pemain yang dilepaskan itu, mereka perlu mengambil gear reverse seketika sebelum mengetuk pintu skuad kebangsaan di masa depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram