Pentingnya liga seperti Purple League, fokus perkembangan 'ubi muda' badminton berbanding bintang senior


  • Podium
  • Isnin, 14 Okt 2024

Purple League dijangka akan kembali dengan fokus terarah kepada pembangunan pemain muda.

TANPA disedari, kejohanan badminton sebenarnya masih belum mencukupi walaupun kita lihat pertandingan sering diadakan di serata tempat sepanjang tahun.

Itu mungkin yang dapat dilihat menerusi pemain berkelas antarabangsa yang menyertai Jelajah Dunia BWF. Bagi mereka, jumlah pertandingan terlalu banyak hingga ia memberi kesan kepada prestasi pemain.

Namun untuk pemain muda dan sedang meningkat naik, nada berbeza dikeluarkan. Di Malaysia, jumlah pertandingan boleh dianggap banyak tetapi masih belum mencukupi.

BACA LAGI: Purple League pernah gegar arena badminton negara, adakah liga profesional akan kembali?

BACA LAGI: Terbuka Artik: Sze Fei-Izzuddin, Soon Huat-Shevon mara ke separuh akhir

Satu masa dulu, negara kita pernah mempunyai saingan berbentuk liga seperti Liga Ungu Malaysia atau dikenali sebagai Purple League. Namun begitu, liga tersebut terhenti pada 2022 selepas ia mula diadakan sejak 2014.

Hampir dua tahun menyepi, saingan Purple League dijangka akan kembali semula dengan pendekatan lebih segar terutamanya melibatkan pemain-pemain muda.

Menurut pengasas bersama Purple League, Datuk Jack Koh, dia memberikan gambaran yang liga itu akan kembali lagi tetapi memfokuskan kepada pembangunan pemain-pemain muda menerusi program Road to Nurturing Champions of Tomorrow (NCT).

Platform yang disediakan adalah seawal 8 hingga 15 tahun dengan Jack membayangkan akan menyediakan laluan bergelar sebagai amatur sehingga menjadi profesional.

13268380_958066307643498_8900273605163268338_o

Jack Koh (kanan) mengatakan Purple League akan memfokuskan akar umbi pada masa akan datang.

"Berdasarkan kajian, ia memerlukan lapan hingga 12 tahun untuk melahirkan juara dunia bermula dari kosong. Oleh itu, ia memerlukan hampir 15 tahun serta tiga, empat kitaran Sukan Olimpik untuk menghasilkannya.

"Sebab itu kita adakan program NCT ini yang merupakan pertandingan bagi pemain junior sebelum mereka memasuki pertandingan peringkat universiti sebelum menjadi pemain profesional.

"Ia adalah peningkatan. Berbanding bermula di peringkat atas (profesional) seperti kami lakukan sebelum ini, kami bermula dari peringkat bawah pula (dari sifar, dari akar umbi) dan kita membangun bersama," kata Jack.

Buat masa ini, NCT adalah permulaan sebelum Purple League di peringkat atasan atau profesional memulakan saingannya semula selepas dua tahun menyepi.

Dijangka 2025 menjadi tahun terawal kemunculan semula saingan di peringkat senior dengan formatnya masih belum lagi didedahkan kepada umum.

Dengan adanya NCT, ia boleh menambah kepada lebih banyak pertandingan berkualiti di peringkat junior. Namun begitu, ia masih terlalu awal untuk menilainya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram