Bekas tonggak TRW tak kenal erti putus asa, tunggu masa perkuat skuad Piala Emas Raja-Raja Selangor


  • Podium
  • Jumaat, 18 Okt 2024

Beberapa pemain daripada skuad TRW sudah tidak lagi beraksi secara profesional kerana serik akan nasib dialami mereka. — Facebook/TRW Kelantan FC

SKUAD The Red Warriors (TRW) pada saingan Liga Super 2022 boleh dikatakan sebagai yang terburuk dalam arena bola sepak tanah air apabila mereka hanya mengumpul lapan mata daripada 26 perlawanan.

Lebih teruk lagi, kelab yang pernah megah satu ketika dahulu itu mencipta rekod baharu selepas dibolosi sebanyak 121 kali dengan jumlah berkenaan boleh meningkat sekiranya pertandingan lain turut diambil kira.

Jadi, tidak hairanlah apabila rata-rata daripada pemain mereka kini tidak lagi beraksi bersama mana-mana pasukan Liga Super kerana masing-masing masih dihantui momen mengecewakan itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Piala Emas Raja-Raja: Bantahan, kad merah warnai aksi sengit Kelantan-Melaka

BACA LAGI: Derbi Pantai Timur hangatkan aksi kemuncak edisi ke-101 Piala Emas Raja-Raja 2023

WhatsApp Image 2024-10-17 at 5.43.09 PM

Irfan Haikal memainkan peranan penting buat skuad TRW pada penghujung musim 2023.

Namun, ada yang enggan menjadikannya sebagai alasan untuk menarik diri daripada sukan yang diminati itu memandangkan sebahagian daripada bintang skuad TRW bangkit membuktikan diri sendiri.

Salah seorang daripadanya ialah penjaga gol berusia 23 tahun, Irfan Haikal Iffendi yang pernah tular berikutan kegagalan menahan sebak susulan kekalahan 2-11 kepada Selangor FC.

Nasib buruk itu tidak mematahkan semangatnya untuk bangkit dan terus beraksi apabila pada awal tahun lalu, dia menyertai kelab amatur, PSM FC yang bersaing dalam beberapa kejohanan sekitar Lembah Klang.

Langkah berkenaan jelas membuahkan hasil kerana dalam Pertandingan Euro Serania, Irfan Haikal diangkat sebagai penjaga gawang terbaik selain membantu pasukannya membawa pulang trofi kejuaraan.

44878372730694420221113000652_IMG_0413

Selangor menjuarai PERR dua tahun lalu ketika edisi ke-100 penganjurannya. Selangor FC

Tidak cukup dengan itu, kesungguhan dipamerkannya membawa tuah yang tidak disangka-sangka apabila dia dipanggil untuk mewakili skuad Selangor dalam saingan Piala Emas Raja-Raja (PERR).

"Perasaan saya apabila menerima tawaran sebegini sudah tentu teruja kerana saya dapat sesuatu yang amat diingini dan saya juga sudah agak lama meninggalkan peluang beraksi di tahap sedemikian.

"Bagaimanapun, saya masih perlu kekal fokus kerana liga tamat agak lama dahulu. Jadi, saya perlu mendaki sedikit demi sedikit dan saya bersyukur kerana dapat kembali berlatih," katanya kepada Majoriti.

Irfan Haikal yang juga pernah beraksi buat Imigresen FC sempat meluahkan rasa penghargaan terhadap semua pihak, termasuk Datuk Seri Azmir Merican yang membolehkannya mencapai cita-cita berkenaan dengan meluluskan pelepasan ke dalam skuad PERR Selangor.

WhatsApp Image 2024-10-17 at 5.41.42 PM

Irfan (atas, tiga dari kanan) dipanggil ke dalam skuad PERR Selangor kali ini. Harian Metro

Pengalaman penjaga gol itu beraksi dalam Liga Super sudah tentu diharapkan dapat mengembalikan trofi kejuaraan selepas kali terakhir berbuat demikian adalah dua tahun lalu.

Jadi, kehadirannya pasti menghangatkan lagi potensi pasukan Lembah Klang itu yang akan membuka saingan berdepan skuad Pahang di Stadium Hang Tuah, Melaka pada Jumaat.

Sekiranya meraih kejayaan, skuad Selangor yang dikendalikan Zamri Hassan mencuri perhatian ramai, terutamanya buat Irfan Haikal yang masih tidak berputus asa untuk ke tahap tertinggi bola sepak negara.

"Ini satu platform yang amat baik buat saya kerana saya perlahan-lahan berkembang dari bawah. Saya sudah melupakan momen beraksi di tahap lebih tinggi, jadi saya melihat ini adalah tapak bagi kepulangan saya sendiri.

"Ia menjadi peluang bagi saya mencipta semula karakter dan memberi ruang buat mereka di luar sana memandang saya dan ini adalah cara betul buat saya," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram