Derbi Pantai Timur hangatkan aksi kemuncak edisi ke-101 Piala Emas Raja-Raja 2023


  • Podium
  • Ahad, 10 Dis 2023

Pahang berhasil mara ke peringkat final selepas mengenepikan juara bertahan Selangor di separuh akhir. — Facebook/Pahang

KEHANGATAN bola sepak tidak berhenti di saingan Liga Malaysia (Liga M) apabila kejohanan Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2023 turut mencuri tumpuan dengan menyaksikan pertembungan derbi Pantai Timur antara Terengganu dan Pahang.

Kemuncak perlawanan kejuaraan bola sepak tertua itu akan diadakan di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Ahad dan pertembungan itu dijangka menarik kehadiran ribuan penyokong kedua-dua pasukan.

Masakan tidak, penganjur pertandingan iaitu Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) difahamkan memberi masuk secara percuma buat kedua-dua penyokong untuk hadir ke aksi kemuncak edisi ke-101 tahun itu.

Pahang berhasil lolos ke peringkat final selepas mengenepikan juara bertahan Selangor di separuh akhir menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 secara agregat.

Manakala, Terengganu pula menggenggam tiket ke final selepas menumbangkan Kedah 3-1 secara agregat dałam perlawanan yang diadakan di Majlis Perbandaran Kubang Pasu Mini Stadium, Kubang Pasu, Kedah.

POSTER

Aksi final PERR antara Pahang dan Terengganu akan diadakan di Kuantan pada Ahad. — Facebook/TokGajah

Derbi Pantai Timur antara dua pasukan berkenaan bukan kali pertama berlaku dalam kejohanan Piala Emas Raja-Raja 2023 kerana pertembungan sama turut berlaku pada saingan 2018.

Ketika itu, skuad Pahang berhasil merangkul trofi kejohanan selepas menewaskan Terengganu dengan keputusan 1-0 dan membawa pulang hadiah sebanyak RM60,000.

Manakala, kali terakhir Terengganu menjulang trofi PERR pada 2000 selepas menumpaskan Selangor 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Untuk info, bagi sesiapa yang tidak sempat mendapatkan tiket percuma ke aksi final perlawanan berkenaan, laman Facebook, Tok Gajah Forever menyediakan siaran langsung pada pukul 8:30 malam ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram