[VIDEO] Piala Emas Raja-Raja: Bantahan, kad merah warnai aksi sengit Kelantan-Melaka


  • Podium
  • Selasa, 24 Okt 2023

Kedua-dua pasukan terpaksa berkongsi mata selepas terikat 1-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan D Piala Emas Raja-Raja 2023. — Facebook/Pasukan PERR Kelantan

PIALA Emas Raja-Raja (PERR) 2023 yang dianjurkan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia dilihat cukup meriah dengan penyertaan beberapa pasukan cukup ternama.

Berdasarkan rekod, sebanyak 16 pasukan, termasuk wakil dari Singapura sudah mengesahkan penyertaan bagi merebut trofi dalam edisi ke-101 penganjuran mereka.

Namun, kisah berbeza berlaku pada Isnin dalam pertemuan antara Pasukan PERR Kelantan dan Persatuan Bola Sepak (PB) Melaka di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan.

Dalam aksi Kumpulan D itu, tuan rumah mendahului seawal minit kedua menerusi sepakan percuma Aiman Mohd Yusoff yang menewaskan penjaga gol lawan.

Bagaimanapun, tumpuan dalam perlawanan itu adalah apabila salah seorang staf kejurulatihan PB Melaka membuat bantahan terhadap pengadil sehingga diarahkan untuk meninggalkan kawasan teknikal.

Perbalahan berlaku ketika aksi antara Pasukan PERR Kelantan dan PB Melaka pada Isnin.

Dalam klip itu, jurulatih serta beberapa kakitangan pasukan pelawat yang lain mengerumuni penjaga garisan sehingga berlaku kejadian tolak-menolak antara mereka.

Situasi terbabit kemudiannya mendesak pemain PB Melaka untuk masuk campur dan meleraikan perbalahan bagi memberi laluan untuk perlawanan diteruskan.

Perlawanan itu bagaimanapun berakhir dengan keputusan seri 1-1 apabila pasukan pelawat mengikat kedudukan menerusi tandukan Wan Zulfahmi yang menewaskan penjaga gol Pasukan PERR Kelantan, Azrie Ruzanie.

Berdasarkan pemerhatian, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan mengenai insiden hangat terbabit apabila tiada isu lebih teruk terjadi.

Selepas ini, Pasukan PERR Kelantan akan bertemu Jakim FC sementara PB Melaka akan berdepan PB ATM dengan kedua-dua aksi akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram