KEPERCAYAAN penyokong Kelantan FC terhadap pemilik kelab itu, Norizam Tukiman semakin hari semakin pudar dek kerana masalah dalaman yang menyelubungi pasukan itu sejak pemecatan bekas jurulatih, Choi Moon-sik sehingga ke isu gaji.
Walaupun Norizam ataupun lebih dikenali dengan panggilan Zamsaham itu sudah mengumumkan akan mengadakan pertemuan dengan penyokong pada 3 Jun ini namun pengikut skuad The Red Warriors (TRW) seakan-akan tidak endah dengan permintaan berkenaan.
Bukan itu sahaja, usahawan berkenaan juga gagal mengembalikan kepercayaan penyokong walaupun dia sudah melunaskan gaji yang ditahan 50 peratus sebelum ini.
Tindakannya menahan gaji pemain adalah kerana mahu pasukan berusaha memburu kemenangan dalam setiap aksi namun kelabnya itu tidak berjaya mencatatkan kemenangan dalam dua perlawanan seperti yang dimahukan.
Zamsaham yang sebelum ini pernah memberi bayangan untuk melepaskan pasukan tersebut kepada pemilik baharu masih menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong sama ada perkara berkenaan akan berlaku.
Zamsaham ketika menemui pemainnya di padang latihan. — Facebook
Sehinggakan banyak nama individu berpengaruh yang pernah memegang Kelantan pada suatu ketika dahulu kembali dipetik untuk menerajui pasukan berpangkalan di Pantai Timur tersebut.
Antara yang diharap kembali menyelamatkan Kelantan ialah Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida berikutan kepercayaan penyokong terhadap cara pengurusannya.
Bercakap kepada Majoriti, Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd yang juga bekas penaja pasukan skuad TRW tersebut terbuka untuk kembali menaja Kelantan jika bersesuaian dengan syaratnya iaitu antara lain tidak ingin membayar segala tunggakan yang ditinggalkan Zamsaham.
“Kalau kena caranya, saya akan ambil semula Kelantan. Seperti keadaan sekarang, kasihan saya tengok. Kalau tunggakan banyak, kami tak nak tapi kalau nak meneruskan atau nak cari pengganti yang boleh majukan memang boleh.
“Saya akan tengok keadaan apabila nak berjumpa dia (Zamsaham). Risau jumpa sekarang, Zamsaham dapat publisiti yang dia nak. Tak boleh janji lagi,” katanya kepada Majoriti.
Vida ketika majlis menandatangani Kontrak Penajaan Kelantan pada musim 2016. — Facebook
Tambah Vida, sekiranya beliau menaja semula Kelantan, anak lelakinya, Muhammad Eric Zecquan Mohd Amin atau lebih terkenal sebagai Kacak akan menjadi individu yang akan menguruskan pasukan itu.
“Saya kena berunding dengan mereka sebab bukan saya akan uruskan tapi Kacak. Saya akan beri kepada orang yang tahu pasal bola seperti Kacak. Jangan ada campur tangan pihak lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, usawahan wanita itu juga mengulas mengenai isu Zamsaham yang menahan gaji pemain dan menurutnya, adalah tidak wajar untuk seorang pemilik melakukan perkara sebegitu rupa.
Di sisi lain, Vida mengakui memahami perasaan Zamsaham sebagai pemilik yang dahagakan kemenangan namun menahan gaji bukan cara yang tepat untuk menguruskan perkara tersebut.
Memo tular berkaitan tunggakan pembayaran KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pemain dan pegawai Kelantan FC. — Facebook
“Orang yang nak membayar gaji letih menunggu hasilnya dengan penyokong tiada yang nak beli tiket dan tiada nak beli baju. Sekurang-kurangnya pemain kena bagi kejayaan, beri something kepada orang yang bagi makan.
“Tapi kena berbincang dengan pemain. Jangan main tahan begitu, jangan nak buat aniaya dekat orang. Betul sebagai pemilik, kita perlukan kemenangan untuk impak positif. Kalau tidak apalah yang kita dapat, asyik kalah saja,” tambahnya.
Untuk rekod, pada awal musim 2016, Vida Beauty menjadi penaja utama Kelantan dengan mengikat perjanjian bernilai RM16 juta bagi tempoh dua musim sehingga 2017.
Paling ketara, RM1 juta diperuntukkan untuk mengubah wajah Stadium Sultan Muhammad IV kepada warna merah jambu dan putih selari dengan tema produk kecantikan tersebut.
Selain itu, nama pasukan Kelantan juga ditukar kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors sebagai antara syarat penajaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram