Pemilik kelab bola Pantai Timur digari, bakal ke penjara gara-gara gagal bayar gaji


  • Podium
  • Rabu, 16 Okt 2024

Pemilik Marcerra United (kiri) berpangkat Datuk Seri dilaporkan dijatuhkan hukuman penjara. — PFAM

NASIB bekas pemilik sebuah kelab Liga Malaysia, Marcerra United kini sudah diketahui pada Rabu dengan keputusan perbicaraan mengenainya sudah menemui jawapannya.

Menurut perkongsian Zulhelmi Zainal Azam, individu yang berpangkat Datuk Seri itu bagaimana pun tidak didedahkan identitinya, dijatuhi hukuman penjara akibat gagal melunaskan bayaran gaji para pemain.

Perbicaraan yang dilakukan di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor itu menyaksikan bekas pemilik kelab itu menjadi individu pertama dipenjarakan dalam sejarah Liga Malaysia akibat masalah gaji.

BACA LAGI: Pengalaman berdepan tunggakan gaji import 5 tahun lalu, TFC tahu cara efektif selesaikan isu Adisak

BACA LAGI: Selalu telefon tanya khabar rakan di Kedah, Ifedayo akui pernah hampir boikot latihan Sang Kenari

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Rabu, Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), penahanan pemilik tersebut dipenjarakan selama tujuh hari selepas gagal melunaskan tunggakan dengan dia perlu membayarnya sebelum tamat waktu bekerja hari yang sama.

"Penahanan dilakukan mengikut perintah komital yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari yang lalu dan Mahkamah yang sama turut memutuskan bahawa individu tersebut perlu dipenjarakan selama seminggu atas kesalahan komital iaitu penghinaan terhadap perintah tersebut," kata peguam yang mewakili pemain dan pegawai kelab tersebut, Suhail Rahimi Abdul Razak.

Sebagai rekod, pemilik kelab itu mempunyai tunggakan sebanyak RM1.4 juta melibatkan 46 pemain dan 12 pegawai pada 2018.

Pemilik tersebut pernah membayar tunggakan sebanyak RM600,000 sehingga pertengahan 2023 namun dia kemudiannya mendiamkan diri dan jumlah RM1.4 juta itu kekal menjadi tunggakan terhadap pemain dan pegawai kelab.

Bagi bekas pemain, Abdul Ghani Abdul Rahman, dia bersyukur kerana pemilik tersebut dikenakan tindakan dan keadilan terhadap dia dan rakan sepasukan sudah dibela.

Menurutnya, akibat keculasan pemilik tersebut, dia berdepan situasi tidak menerima gaji selama tiga bulan sepanjang menjadi pemain kelab itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram