PENYERANG import prolifik Liga Malaysia (Liga M), Ifedayo Olusegun tidak dapat menyembunyikan rasa simpatinya terhadap bekas majikan iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC yang kini dihimpit dengan masalah kewangan.
Masalah kewangan skuad Sang Kenari masih tidak menunjukkan sebarang tanda untuk pulih dengan tiada sebarang khabar berita mengenai penaja baharu walaupun saingan Liga Malaysia (Liga M) sudah memasuki pusingan kedua.
Keadaan semakin membimbangkan apabila ada beberapa dilihat pemain tidak turun berlatih dan dikatakan punca utama adalah masalah tunggakan gaji yang berlaku sehingga hanya ketua jurulatih, Nafuzi Zain dan staf kelab tersebut sahaja hadir ke sesi latihan.
BACA LAGI: Kembali perkuat Sang Penyu, Shahrul Nizam ada tugas berat 'gari' Ifedayo
Meskipun ada pihak kurang bersetuju dengan tindakan para pemain memboikot sesi latihan tapi bagi Ifedayo, dia memahami tindakan yang dilakukan bekas rakan sepasukannya itu.
"Apabila saya berada di sana (Kedah) pada musim lepas, saya dan rakan-rakan pun hampir melakukan perkara sama tetapi sebelum kami melakukannya, pemilik Kedah mencari jalan. Tetapi sekarang, mungkin mereka tidak melihat ia berlaku.
"Saya pun ada bertanya khabar dengan beberapa pemain di sana seperti Sony Norde dan Habib Haroon. Apabila saya nampak mereka tidak berlatih, saya terus telefon. Mereka memberitahu semua ini berlaku kerana wang.
"Tetapi kini, para pemain pun sudah kembali ke latihan sekarang. Pemain yang tidak menjalani latihan sebelum ini pun sudah kembali. Apabila mereka menyelesaikan masalah kewangan ini, saya percaya semuanya akan selesai," katanya kepada Majoriti.
Ifedayo (kanan) ketika bersama Kedah pada musim lepas. — Facebook/KDAFC
Ifedayo ditemui selepas sidang media sesi pengumuman kerjasama strategik antara Suria FM dan PDRM FC di Menara Star dekat Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.
Dalam pada itu, bercakap mengenai kerjaya setakat ini bersama skuad The Cops, Ifedayo tidak teragak-agak untuk memilih PDRM FC sebagai kelab terbaik yang pernah disertainya sepanjang mewarnai Liga Malaysia.
"Semua terbaik tapi untuk sekarang saya pilih PDRM FC. Pasukan ini mempunyai kestabilan keadaan kerja yang baik, kestabilan, kewangan, gaji datang pada masa yang sesuai. Jadi sekarang, PDRM adalah pasukan terbaik," jelasnya.
Sebelum menyertai PDRM pada awal musim ini, penyerang kelahiran Nigeria berkenaan pernah menyarung jersi Felda United (2017-2018), Melaka (2018-2019, 2022-2023), Selangor FC (2019-2022) dan tahun llau bersama Kedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram