Emas Olimpik boleh disumbangkan sesiapa saja, jangan sekadar tertumpu atlet jagaan BAM


  • Podium
  • Rabu, 16 Okt 2024

Badminton sentiasa menjadi sukan sandaran Malaysia memburu pingat emas di Sukan Olimpik.

PEMBENTANGAN Belanjawan 2025 akan diadakan pada Jumaat. Sekali lagi, semua mata tertumpu kepada apa yang hendak disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Industri sukan juga tidak terkecuali. Pembentangan kali ini pastinya signifikan untuk sukan negara terutamanya badminton yang sering menjadi sandaran untuk mendapatkan pingat terutamanya emas di Sukan Olimpik.

Dengan kurang daripada empat tahun sebelum Sukan Olimpik 2028 (LA 2028) di Los Angeles, Amerika Syarikat. Masa untuk memburu emas menerusi badminton sudah bermula dengan dana signifikan oleh kerajaan menerusi Belanjawan 2025 boleh membantu.

BACA LAGI: Pentingnya liga seperti Purple League, fokus perkembangan 'ubi muda' badminton berbanding bintang senior

BACA LAGI: Semangat Lee Zii Jia 'merasuk' rakyat Kedah, demam badminton kini bermula

Masa buru emas sudah bermula

Dari segi kiraan waktu, jarak menuju LA 2028 mungkin masih lama sebelum ia diadakan, tetapi persiapan untuk menaiki podium temasya tersebut sudah bermula.

Dan itulah yang perlu dilakukan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menamatkan penantian panjang pingat emas Sukan Olimpik menerusi sukan yang sering dijadikan sandaran.

462473211_18272242897218462_6122078303278084311_n

Lee Zii Jia menyumbang pingat gangsa untuk Malaysia di Sukan Olimpik 2024.

Oleh itu, agihan dana dalam Belanjawan 2025 bagi sukan seharusnya difokuskan kepada usaha mendapatkan emas dari sukan badminton tanpa mengabaikan permainan lain.

BAM dan KBS harus bersatu untuk mencipta sebuah program berprestasi tinggi yang ampuh bagi membolehkan misi memburu emas akhirnya berjaya.

Jangan bezakan atlet BAM, pemain pro

Masa kini, semakin ramai pemain badminton utama negara yang keluar daripada BAM dan menjadi pemain bebas atau pro seperti Lee Zii Jia dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin.

Walaupun mereka tidak lagi bersama BAM, tetapi nama-nama itu berpotensi untuk memberikan pingat buat Malaysia di LA 2028 sekiranya layak. Oleh itu, BAM tidak seharusnya mencicirkan mereka daripada program berprestasi tinggi mereka.

GMk6ZwXaAAAIh2Q

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin antara pemain Malaysia yang tidak lagi bersama BAM.

Mereka mungkin ada hak pilihan untuk tidak menyertai program tersebut, BAM harus memastikan yang mereka berjaya mengikat kerjasama dengan nama-nama tersebut jika kesemuanya benar-benar ingin mendapatkan emas di LA 2028.

Agihan dana menerusi Belanjawan 2025 seharusnya digunakan dengan sebaiknya supaya ia memberikan manfaat kepada atlet jagaan BAM dan pemain pro kebangsaan.

Pastikan kecemerlangan berterusan

Selain memastikan usaha mendapatkan pingat emas di Sukan Olimpik terlaksana. BAM juga perlu memastikan kecemerlangan badminton Malaysia berterusan untuk jangka masa panjang.

Menerusi Belanjawan 2025, BAM juga perlu memastikan pembangunan akar umbi perlu dijaga dengan sebaiknya supaya Malaysia terus menghasilkan jaguh-jaguh dunia.

463213210_18272950990218462_926201906977774957_n

Masa depan badminton Malaysia dilihat cerah.

Dana yang diterima kelak seharusnya tidak melupakan pembangunan akar umbi dengan BAM perlu merencana pelbagai program pembangunan badminton seperti pencarian bakat, pertandingan serta klinik pembangunan jurulatih.

Agihan dana yang diterima seharusnya digunakan sebaiknya oleh BAM dan mereka perlu pastikan kesannya menyeluruh dan diterima secara langsung atau tidak langsung kepada ekosistem badminton negara.

Diharapkan menerusi Belanjawan 2025, industri sukan amnya dan badminton khas menerima peruntukkan sewajarnya bagi memastikan ia dapat dipacu terus ke depan dan sasaran meraih emas di LA 2028 berjaya dilaksanakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram