PEMERGIAN Conor Nesto sebagai pembantu jurulatih Selangor FC membuka ruang untuk kelab itu mendapatkan dua individu bagi menolong Nidzam Jamil.
Kehadiran Abdi Hassan dan Shahrom Kalam membantu Selangor untuk meneruskan perjuangan mereka dalam Liga Super, Piala Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Tumpuan terarah kepada Shahrom yang menjadi orang kanan Nidzam dan paling menarik, menyertai kelab besar pada peringkat awal karier kejurulatihannya.
BACA LAGI: Pemergian Conor Nestor buka ruang 3 legenda Selangor bergabung dengan Nidzam Jamil
Bagi legenda Selangor, Shahril Arsat, pelantikan Shahrom itu adalah rezeki buatnya kerana sebelum ini Shahrom masih lagi 'hijau' dalam dunia kejurulatihan.
"Ini adalah peluang untuknya, rezeki dia. Dia pun pernah berjasa untuk Selangor. Jadi, ini adalah peluang untuknya mencari pengalaman dengan cara menjadi pembantu jurulatih.
"Yang bagusnya adalah ia dilihat sebagai rezeki untuk dia memajukan diri dalam karier kejurulatihannya. Ia adalah satu tanggungjawab yang besar kerana dia duduk dalam kelab yang besar," kata Shahril kepada Majoriti.
Melihat kepada resume Shahrom yang masih baharu dalam dunia kejurulatihan, Shahril berpendapat yang pemenang Piala Malaysia 2015 itu perlu cepat belajar dan membiasakan diri dengan tugasnya membantu Nidzam.
Dengan sambutan baik diterima olehnya sebaik diumumkan sebagai pembantu Nidzam, Shahrom berpeluang untuk meninggalkan impak baik buat Selangor.
"Dia masih baharu dalam kejurulatihan dan pengalaman yang ada dia pernah membawa kelab di Liga A1 Semi-Pro sahaja.
"Saya harap dia cepat belajar dan maju dalam bidang kejurulatihan, dia kena ambil peluang itu dengan cepat. Mungkin ada yang terkejut kerana dia tiba-tiba saja masuk dalam pasukan utama Selangor kerana dia masih baru dalam dunia kejurulatihan, tapi ini adalah satu peluang yang sukar untuk dia tolak," ujar Shahril. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram