DI tengah-tengah kesibukkan Selangor FC dalam menghadapi saingan domestik dan kejohanan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), Gergasi Merah dikejutkan dengan pemergian pembantu jurulatih, Conor Nestor.
Baru-baru ini, jurulatih kelahiran Republik Ireland tersebut difahamkan tidak lagi berada dalam barisan kejurulatihan pasukan selepas dia memilih untuk melebarkan sayap kariernya.
Jurulatih berusia 44 tahun itu difahamkan mendapat tawaran lebih menarik iaitu dilantik sebagai pengendali utama kelab Kemboja, Boeung Ket FC bagi menggantikan Hao Socheat yang baru sahaja meninggalkan posisi tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya nak main untuk Selangor', Razman Roslan kata bukan hanya sebab Hamidin suruh keluar
Dalam klip berdurasi 45 saat itu, Nestor menceritakan bagaimana dia berasa teruja dengan peluang diterimanya itu di samping menegaskan keputusan menyertai pasukan itu amat penting demi kariernya.
Setakat ini, kelab Lembah Klang berkenaan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai penghijrahannya dengan mereka pasti mahu mencari seseorang yang berpengalaman untuk mengisi kekosongan terbabit.
Sehubungan dengan itu, Majoriti menyenaraikan tiga calon pembantu jurulatih yang dilihat sesuai untuk menggantikan Nestor;
1) Shukor Adan
Shukor kini berkhidmat untuk skuad B-23 negara. — Facebook/KLCity
Bekas pemain Selangor, Shukor Adan antara calon sesuai membantu Nidzam menguruskan Gergasi Merah terutama selepas melihat pengalamannya yang pernah mengendalikan kelab dan skuad Bawah 23 tahun negara.
Selepas mengumumkan persaraannya pada 2021, pemain yang beraksi di posisi tengah bertahan dan sebagai bek tengah itu menyertai Kuala Lumpur (KL) City FC dari 2022 sehingga 2023.
Bersama skuad Warga Kota, jurulatih berusia 45 tahun itu berhasil membantu KL City menjadi naib johan Piala AFC 2022 selepas pasukan berkenaan tewas 0-3 kepada kelab Oman, Al Seeb.
Susulan kejayaan dan pengalaman berkenaan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk menggabungkan kepakarannya dengan Juan Torres Garrido sebagai pengendali baharu Harimau Muda pada 2023.
Sekiranya Gergasi Merah memerlukan seorang individu yang memahami permainan bola sepak Selangor itu sendiri, Shukor adalah jawapannya. Namun, pihak pengurusan Selangor perlu membayar sejumlah wang sebagai pampasan kepada FAM susulan kontrak yang masih ada.
2) Nazrulerwan Makmor
Nazrulerwan sedang menikmati musim yang baik bersama PT Athletics. — Facebook/KDNFC
Nama Nazrulerwan Makmor mungkin tidak sepopular Shukor namun pengendali berkenaan tahun ini mencipta sejarah tersendiri dalam saingan Liga A1 Semi Pro bersama PT Athletics FC.
Sebelum bersama PT Athletics, Nazrulerwan miliki pengalaman cukup luas dalam kancah Liga Super dengan menjadi pembantu jurulatih kelab seperti PDRM FC, UiTM United dan Melaka. Selain menjadi pengendali untuk Perlis FA, Kelantan United dan KL Rovers.
Memiliki pengalaman cukup luas dalam kancah Liga Super dan saingan Liga A1 Semi Pro, pastinya sentuhan pengendali tersebut boleh digunakan Gergasi Merah untuk mencipta kejutan positif di mana-mana kejohanan.
Di bawah kendalian Nazrulerwan, PT Atheltic FC menghuni kedudukan kedua Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024-2025 dengan mengumpul 29 mata selepas mengharungi 14 perlawanan.
3) Shahrom Kalam
Shahrom antara calon sesuai mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nestor. — Facebook/SelangorFC
Bekas ketua pasukan Selangor FC, Shahrom Kalam turut berada dalam senarai calon jurulatih yang sesuai untuk menggantikan Nestor berikutan pengalamannya bersama Gergasi Merah dari 2013 hingga 2016.
Memetik laporan New Straits Times, Shahrom juga dikatakan sudah bersedia untuk menyertai semula kelab yang membentuk dirinya menjadi seorang pemain disegani dalam arena bola sepak tanah air itu.
Laporan itu berkata, Shahrom memiliki kualiti kepimpinan dan berpengetahuan tentang permainan bola sepak untuk membimbing Gergasi Merah menjadi lebih baik dalam saingan domestik dan ACL2.
Untuk rekod, Shahrom kini berkhidmat sebagai ketua jurulatih Gombak FC dengan baru-baru ini menyaksikan pasukan itu berada di tempat kelapan dalam Liga Separuh Pro A1 selepas merekodkan 22 mata daripada 14 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram