Masih tak cukup, kehadiran legenda Merah Kuning gagal kekang fans tuntut coach lebih ‘experience’ ganti Nidzam Jamil


  • Podium
  • Isnin, 14 Okt 2024

Taktikal Nidzam Jamil terus dipersoalkan, lebih-lebih lagi ketika mereka beraksi dalam kempen ACL Two. — Facebook/Selangor FC

PENCARIAN Selangor FC untuk membawa masuk pembantu jurulatih baharu berakhir selepas mereka mengumumkan kehadiran Abdi Hassan dan legenda kelab, Shahrom Kalam.

Pelantikan kedua-dua individu berkenaan dibuat bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Conor Nestor yang baru-baru ini menyertai pasukan Kemboja, Boeung Ket Angkor FC.

Keputusan itu juga boleh dikatakan tepat buat skuad Gergasi Merah memandangkan Abdi sebelum ini memegang jawatan sebagai jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Selangor FC yang berentap dalam Piala MFL.

BACA LAGI: Pemergian Conor Nestor buka ruang 3 legenda Selangor bergabung dengan Nidzam Jamil

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah siku bekas bintang JDT, Selangor cuba 'hijack' penyerang idaman Perak

462962672_18459849217006712_4622198530054034828_n

Shahrom meluangkan masa bertahun-tahun sebagai pemain skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Bagi Shahrom pula, statusnya sebagai legenda pasukan menjadikannya calon terbaik untuk berganding bersama-sama Nidzam dengan masing-masing seperti sudah memahami identiti kelab.

Namun, kisah berbeza pula dapat disaksikan apabila rata-rata penyokong masih belum berpuas hati dengan pihak pengurusan Selangor FC meskipun kedua-dua mereka mempunyai kredibilti tersendiri,

Ini kerana mereka beranggapan skuad Gergasi Merah sepatutnya dikendalikan jurulatih berpengalaman di sekitar Asia memandangkan mereka sedang berentap dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two ketika ini.

"Tetap perlu cari jurulatih yang baharu, kalau boleh tamatkan sahaja kontrak Nidzam. Cari ketua jurulatih yang memiliki pengalaman luas di Asia, tidak kisah dari mana-mana sekalipun," kata Saiful Redzuan.

462918453_18459849208006712_3857556124661089221_n

Abdi Hassan mengendalikan skuad B-23 Gergasi Merah sebelum dinaikkan pangkat. Facebook/Selangor FC

"Lambat lagi lah nampaknya Selangor FC mahu mara, bukan kita tidak percayakan bakat tempatan, tetapi carilah pengendali lebih berpengalaman di peringkat Asia. Yang lokal bolehlah jadi pembantu dahulu," kata Yusri Abd Wahab.

"Nak dapatkan keputusan cemerlang di peringkat Asia, tetapi barisan kejurulatihan yang ada pun mempunyai rekod bergelut dalam negara," kata Muse Razak.

Sebelum dipanggil ke dalam skuad Gergasi Merah, Shahrom Kalam sebelum ini merupakan jurulatih Gombak FA yang beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim ini.

Bagi Abdi Hassan pula, pengalamannya bersama skuad Piala MFL Selangor FC sudah tentu diharapkan dapat membawa perubahan terhadap pasukan Lembah Klang berkenaan yang berada di kedudukan kedua Liga Super.

Selangor FC akan berdepan PDRM FC di Stadium Selayang, Selangor pada Sabtu dengan tiga mata pasti mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam carta liga selepas mengharungi 12 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram