ISU pergaduhan dalam arena bola sepak Indonesia bukanlah perkara baharu kerana masalah itu berulang saban tahun, baik dalam kalangan pemain atau di antara penyokong.
Meskipun terdapat pelbagai usaha dilakukan, kegagalan mengawal emosi menyebabkan perkara berkenaan kerap terjadi sehingga boleh mengancam nyawa yang tidak bersalah.
Malah, baru-baru ini, kekecohan sekali lagi tercetus melibatkan seorang idola bola sepak Indonesia, Andik Vermansyah yang tidak perlu lagi diperkenalkan dalam kalangan peminat sukan tempatan.
BACA LAGI: ‘Deal off’, Andik Vermansyah ikut jejak Jordan Mintah tolak sertai Kelantan FC
BACA LAGI: Pernah memukau bersama Kedah dan Selangor, Andik Vermansyah kini tercari-cari bos baharu
Andik pernah mewarnai arena bola sepak tanah air bersama Kedah dan Selangor. — Facebook/Kedah FA
Insiden berlaku ketika pertembungan Liga 2 Indonesia antara kelab penyerang sayap tersebut, Persiraja Banda Aceh dan PSPS Riau di Stadium Harapan Bangsa, Aceh pada Isnin.
Kejadian difahamkan tercetus selepas bekas pemain Kedah dan Selangor itu bertindak merempuh lawannya, Aulia Ramadhan ketika cuba merampas bola, namun tindakannya dianggap terlalu kasar.
Pengadil kemudian bertindak melayangkan kad kuning kepada Andik yang hanya mengganggu emosi pemain berusia 32 tahun sehingga dia membuat bantahan terhadap keputusan terbabit.
Berang dengan peringatan itu, dia sekali lagi menghangatkan keadaan apabila secara tiba-tiba menolak wajah Ilham Fathoni yang menyebabkannya terjatuh sambil menahan kesakitan.
Namun, kekasaran berkenaan tidak membuatkan pengadil mengambil sebarang tindakan terhadapnya, sekali gus membolehkan Andik terus kekal berada di atas padang.
Tetapi, tidak lama selepas itu, bekas pemain kebangsaan Indonesia berkenaan sekali lagi terlibat dengan kontroversi apabila enggan melompat bagi merebut bola di udara yang hanya mengganggu kestabilan pemain PSPS Riau, Fitra Ridwan.
Aksi terbabit boleh dianggap sebagai satu taktik kotor dalam bola sepak kerana ia akan mendatangkan kecederaan serius sekiranya pemain lawan tidak mendarat dengan baik.
Jadi, tidak hairanlah apabila Andik menjadi sasaran penyokong di media sosial selepas perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 itu berakhir.
Selain mengecam sikap profesionalisme pemain berkenaan, rata-rata peminat setia pasukan pelawat seperti memberi ancaman kepadanya dalam aksi yang akan diadakan di 'rumah' PSPS Riau nanti.
Menyedari perkara itu, Andik dengan segera memohon maaf atas kedua-dua insiden yang berlaku dengan harapan kenyataan terbuka itu dapat memadam kemarahan orang ramai terhadapnya.
"Saya memohon maaf sebesar-besarnya kepada keluarga besar PSPS. Saya mengaku bersalah kerana saya tidak dapat mengawal emosi dengan provokasi diajukan terhadap saya.
"Saya mengakui menyesal terhadap kelakuan dan perbuatan saya di samping akui kehebatan PSPS Riau sangat luar biasa. Anda sememangnya layak untuk menang, terima kasih," katanya.
Andik pernah menghabiskan majoriti besar daripada kemuncak kariernya di Liga Super ketika beraksi selama empat musim bersama skuad Gergasi Merah sebelum berkelana ke Utara tanah air untuk menyertai Kedah FA.
Kelincahannya meletakkannya sebaris dengan pemain import Indonesia seperti Bambang Pamungkas dan Saddil Ramdani yang pernah mewarnai arena bola sepak tempatan setakat ini.
Namun, selepas itu, dia memilih untuk kekal beraksi di negara kelahirannya bersama beberapa kelab meskipun terdapat khabar angin mengatakan dia mahu menyertai Kelantan FC musim lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram