‘Deal off’, Andik Vermansyah ikut jejak Jordan Mintah tolak sertai Kelantan FC


  • Podium
  • Selasa, 01 Ogos 2023

Andik antara pemain Indonesia yang berjaya bersama Selangor. — Facebook

TEKA-TEKI perpindahan bekas pemain kebangsaan Indonesia, Andik Vermansyah kembali mewarnai kancah bola sepak tempatan terjawab selepas dia difahamkan menolak untuk menyertai Kelantan FC pada hari terakhir (Selasa) jendela perpindahan Liga Malaysia.

Sebelum ini tular di media sosial, Kelantan FC memuat naik gambar Andik dan Jordan Mintah seolah-olah dua pemain itu sudah sah menyertai The Red Warriors (TRW) pada Isnin.

Namun dua posting tersebut dipadam semula selepas beberapa minit dimuat naik dalam laman rasmi Facebook Kelantan.

Ternyata dua gambar itu tidak akan dimuat naik semula selepas Mintah difahamkan memilih untuk kekal di bumi Terengganu, manakala perbincangan Andik bersama Kelantan tidak mencapai kata putus.

Posting yang dimuat naik Kelantan sebelum memadamnya semula. — Facebook

Menerusi perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Andik difahamkan memilih kekal untuk beraksi di Liga Indonesia.

Sebelum ini, Kelantan berada dalam rundingan akhir untuk menandatangani Andik dan jika perkara itu berlaku pemain berusia 31 tahun itu akan terbang ke Malaysia pada Rabu.

Dengan pengumuman yang dimuat naik Zulhelmi ini bermakna Kelantan hanya membawa masuk lima pemain baharu bagi mengharungi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia 2023.

Andik sebelum ini pernah beraksi bersama dua kelab gergasi Liga Super iaitu Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC sebelum memilih kembali menyertai kelab Indonesia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram