PEMAIN sayap skuad kebangsaan Indonesia, Andik Vermansyah pernah menggegarkan arena bola sepak tempatan untuk beberapa musim.
Selepas mencipta nama di Persebaya, Selangor FC mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmatnya pada 2013 bagi menguatkan lagi jentera serangan pasukan.
Kelincahannya di atas padang dilihat cukup penting dalam membantu kemenangan dengan kehadirannya dapat mencipta ataupun menyudahkan peluang yang terhidang.
Bagi penyokong kelab Lembah Klang itu, sumbangan Andik mula mencipta perbandingan antaranya dengan seorang lagi bekas pemain Indonesia, Bambang Pamungkas.
Andik pernah mencuba nasib bersama Kedah FA untuk tempoh semusim. — Stadium Astro
Malah, kelibatnya turut membantu Selangor FC mencatatkan beberapa kejayaan, termasuk memenangi Piala Malaysia 2015 di samping dinobatkan sebagai naib juara Liga Super 2016.
Selepas hampir lima tahun bersama skuad Gergasi Merah, pemain yang kini berusia 31 tahun itu memilih untuk meninggalkan kelab itu sebelum menyertai Kedah FA.
Tetapi, sepanjang satu musim bersama skuad Hijau Kuning, Andik tidak memberikan sumbangan yang signifikan akibat lambakan penyerang bintang dalam pasukan itu.
Ia memaksa pemain bertubuh kecil terbabit untuk pulang ke tanah kelahirannya pada 2019 dengan kelab Liga 1 Indonesia, Madura United menjadi destinasi baharunya.
Bhayangkara FC merupakan kelab terakhir diwakili Andik. — Agensi
Penghijrahan berkenaan menyebabkan peminat bola sepak tempatan kurang memberikan perhatian terhadapnya dengan tumpuan cuma diberikan sekiranya dia beraksi untuk skuad Garuda.
Namun, baru-baru ini, Andik sekali lagi menjadi bahan bualan ramai selepas dilaporkan pemain sayap berkenaan tidak terikat dengan mana-mana pasukan.
Berdasarkan satu ciapan di Twitter GaraGaraBola pada Rabu, dia berada dalam senarai pemain Indonesia yang berstatus ejen bebas setelah dilepaskan pasukan masing-masing.
Penyerang itu diletakkan di samping tujuh yang lain dengan penyerang skuad kebangsaan Garuda, Irfan Bachdim juga tidak terikat apabila kontraknya dengan Persis Solo tamat.
Kali terakhir Andik beraksi secara profesional adalah bersama Bhayangkara FC dengan dia hanya mencatatkan satu gol dan satu bantuan jaringan dalam 22 penampilan liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram