'Pesaing tak akan main kotor', coretan istimewa Real Madrid buat Iniesta wajar dicontohi kelab Liga M


  • Podium
  • Sabtu, 12 Okt 2024

Persaraan Iniesta (tengah) sebagai pemain bola sepak profesional mendapat penghargaan serta penghormatan daripada Real Madrid. — Agensi

SELEPAS 24 tahun menikmati karier yang penuh gilang- gemilang, legenda Sepanyol iaitu Andres Iniesta mengumumkan persaraan daripada bola sepak pada usia 40 tahun.

Iniesta yang dikenali sebagai legenda bola sepak Sepanyol berkenaan mengecapi kejayaan bersama kedua-dua skuad tersebut dengan membantu negaranya dengan meraih gol kemenangan ke atas Belanda dalam masa tambahan pada final Piala Dunia 2010.

Selain itu, pemain yang membuat 131 penampilan untuk skuad La Roja tersebut turut menjadi watak penting ketika Sepanyol memenangi Kejuaraan Eropah pada 2008 sekali gus menamatkan penantian selama 44 tahun bagi merangkul kejuaraan berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Belum habis 'santau' pengadil Oman, Indonesia sekali lagi akan diuji pegawai kontroversi

BACA LAGI: [VIDEO] Padang 'bendang' tak halang aksi kelayakan Piala Dunia Argentina-Venezuela

Bersama kelab yang membentuknya menjadi pemain elit iaitu Barcelona pula, pemain beraksi di posisi tengah itu meraih sembilan gelaran La Liga dan empat trofi Liga Juara-Juara bersama skuad Blaugrana.

Persaraan Iniesta bukan hanya mendapat penghargaan daripada para pemain dan jurulatih ternama dunia, malah, turut meraih penghormatan daripada seteru Barcelona iaitu Real Madrid.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan kelab berkenaan, Presiden dan Lembaga Pengarah Real Madrid mengiktiraf, mengagumi dan sayang terhadap salah seorang legenda terbesar Sepanyol serta bola sepak dunia berkenaan.

“Andres Iniesta telah memperkayakan sukan ini menerusi bola sepak dan nilai-nilainya, tambahan kepada pelbagai trofi yang tidak terkira dimenanginya sepanjang kariernya.

“Gol ikonik semasa perlawanan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan akan kekal dalam ingatan setiap peminat bola sepak Sepanyol buat selama-lamanya.

"Real Madrid ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan keluarganya dalam fasa baharu dalam hidupnya, “ tulis kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi skuad berjulukan Los Blancos itu.

Kenyataan Real Madrid berkenaan membuatkan banyak penyokong tersentuh dengan menyifatkan permusuhan atas padang antara Los Blancos dan Barcelona sebagai hubungan yang sihat.

Mentaliti menghormati pesaing yang ditunjukkan Real Madrid berkenaan juga sepatutnya dijadikan contoh oleh semua kelab termasuk pasukan-pasukan Liga Malaysia, seperti yang disarankan oleh salah seorang penyokong domestik, Ezreen Muhaizie Marzukhi.

“Pesaing tidak menganggap lawan mereka sebagai musuh. Pesaing mengiktiraf kehebatan lawan mereka. Pesaing akan berusaha untuk meningkatkan kualiti diri sendiri supaya dapat mengalahkan lawan. Pesaing tidak akan menjatuhkan lawan secara kotor.

“Pesaing akan bosan jika lawannya lemah, kerana ia tidak membantu perkembangan diri sendiri. Pesaing sentiasa mengharapkan lawannya kekal hebat supaya diri sendiri kekal hebat dan pesaing sentiasa sukakan persaingan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram