
SETAKAT tiga saingan Grand Prix (GP) berlangsung dalam Liga Sepak Takraw (STL) musim ini, Kelantan Warriors masih belum berada di tahap terbaik dengan mereka baru sahaja mengumpul 20 mata setakat ini.
Malah, dalam GP Perak yang baru sahaja menutup tirai pada Ahad, pasukan Pantai Timur tersebut hanya menamatkan saingan di kedudukan terakhir Kumpulan B, sekali gus menutup peluang mereka meraih sebarang mata.
Jadi, perubahan terhadap pasukan perlu diambil, lebih-lebih lagi selepas kehilangan tekong import, Purached Yodsaen yang mengambil keputusan pulang ke negara kelahirannya.
BACA LAGI: STL 2024: 'Batal atau tidak?' Challenge minit akhir cipta drama aksi Kelantan Warriors-NS Antlers
BACA LAGI: [VIDEO] Bantu Kelantan Warriors mara suku akhir, tekong import Thailand ucap selamat tinggal
Namun, baru-baru ini, berita baik diterima penyokong Kelantan Warriors berikutan pengumuman kehadiran pemain baharu, Ashraf Azizan yang cukup hebat beraksi di posisi apit kanan.
Pengumuman itu disampaikan di akaun media sosial pasukan tersebut dengan pemain itu meminta penyokong mengharapkan kehadirannya menjadi tonik buat skuad kendalian Rukman Mustapha tersebut.
"Saya Ashraf Azizan, saya akan menyertai Kelantan Warriors untuk GP Penang nanti. Kepada penyokong Kelantan Warrios, doakan pasukan ini berjaya di Penang untuk STL nanti. Insya-ALLAH, saya akan buat yang terbaik buat pasukan dan memperolehi kemenangan buat pasukan," katanya.
Ashraf memiliki pengalaman bertahun-tahun sebagai 'killer' Johor Tigris. — Facebook/Ashraf Azizan
Dalam kariernya, Ashraf lebih sinonim dengan pasukan Johor Tigris ketika dia meluangkan masa di negeri Selatan tanah air itu untuk beberapa musim.
Namun, dalam saingan STL tahun lalu, dia seperti tidak beraksi dengan mana-mana pasukan berikutan kekurangan laporan mengenai pemain berkenaan.
Kehadirannya sudah tentu memberikan pilihan buat Kelantan Warriors di posisi apit kanan yang acap kali diisi Haikal Mohammad Jamil atau Rusdee Leerem yang merupakan import dari Thailand.
Dalam GP Penang yang akan bermula pada Rabu, mereka diundi di samping PDRM Defenders dan Selangor Pistons dalam Kumpulan B yang pasti menjanjikan aksi hangat buat peminat sukan sepak takraw tanah air. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram