SAINGAN Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 musim ini menyaksikan pelaksanaan Grand Prix (GP) sebagai konsep dan format baharu yang diperkenalkan sempena sedekad kejohanan berkenaan menakluk arena sepak takraw tanah air.
Untuk pengetahuan, format GP yang diperkenalkan itu merupakan gabungan elemen kejohanan liga dan kejohanan pusingan sekali gus dilihat memberi peluang kepada semua pasukan untuk menjadi juara GP setiap mengikut venue STL yang diadakan.
Dalam format GP musim ini, lima venue bakal menjadi tuan rumah, iaitu GP Selangor, GP Terengganu, GP Perak, GP Pulau Pinang, dan GP Johor.
BACA LAGI: Format GP menyukarkan, stamina pemain, jadual padat antara luahan pengurus STL Liga Premier
BACA LAGI: STL 2024: Tiga import Thailand 'padu' berjaya curi perhatian penyokong
STL tahun ini akan menyaksikan 12 pasukan mempunyai peluang untuk bergelar raja takraw Malaysia. — STL
Seperti yang diketahui, setiap pasukan perlu berkampung dalam lima venue perlawanan dengan jarak yang berbeza sepanjang kejohanan itu berlangsung dan hanya memiliki kurang seminggu untuk sesi latihan di gelanggang sendiri.
Dengan perlawanan yang bersifat berterusan itu, jadual padat, kurang fokus, faktor stamina antara kesukaran yang dijangka cabaran untuk semua pasukan.
Susulan itu, terdapat beberapa pasukan yang menyuarakan pandangan peribadi mereka mengenai kekurangan format tersebut antaranya stamina pemain dan kos perbelanjaan yang dihadapi.
Begitu pun, pengulas sepak takraw negara, Mohsen Amdan mempunyai pandangan berbeza mengenai isu tersebut.
Menurutnya, setiap perubahan yang dilakukan semestinya memiliki pro dan kontra.
"Seperti biasa semua benda ada pro dan kontra dia, dari kita macam mana nak menilai sesuatu perubahan itu.
"Pendapat saya, kelainan format memberi rencah rasa baharu dalam sesebuah sukan," katanya kepada Majoriti.
ATM Guardians (jersi merah) mara ke separuh akhir selepas menewaskan Negeri Sembilan Antlers dengan keputusan 2-0 dalam aksi suku akhir pada Sabtu. — STL
Mohsen berkata, format GP yang baru diperkenalkan bagi STL 2024 musim ini sebenarnya memberi peluang kepada semua pasukan untuk bergelar juara.
"Dari segi peluang, format GP membuka ruang secara agak terbuka untuk bina motivasi pasukan sebab masih ada peluang setiap sirkit.
"Hal ini kerana, pasukan yang tewas pada sirkit sebelumnya masih memiliki peluang untuk menang pada sirkit seterusnya.
"Kalau format liga biasa, untuk naik semula ke puncak liga hampir tiada peluang jika kalah banyak kali.
"Contohnya, pasukan A sudah berada di bottom tiga, masih berpeluang ke final sirkit mingguan.
"Kalau liga penuh, bottom tiga memang hampir mustahil nak ke final," kongsinya.
Kelantan Warriors muncul juara Divisyen 1 selepas menewaskan Selangor Pistons dalam perlawanan akhir Divisyen 1 Liga Sepak Takraw 2024. — STL
Mohsen yang juga pengasas Bolarotan TV itu tidak bersetuju dengan luahan yang dilontarkan oleh beberapa pasukan Liga Premier.
Menurutnya, dia tidak memahami mengapa isu seperti stamina pemain dan kos perbelanjaan menjadi masalah utama yang dikaitkan dengan format GP.
"Saya tak nampak daripada sudut mana format GP menyukarkan dan bagi saya sebenarnya banyak advantage. Kalau dari segi perbelanjaan pula, perbelanjaan setiap kali tempat tak sama. Kalau kita tengok sebelum ini pun, STL bertukar-tukar venue juga.
"Dalam isu perbelanjaan, itu tanggungjawab pengurusan, dia nak bawa pasukan kenalah cari sponsorship.
"Pendapat saya, isu seperti itu sebenarnya bergantung kepada pihak pengurusan macam mana cara menguruskan pasukan masing-masing.
"Oleh itu, pengurusan kena bijak cari sponsorship kerana dengan adanya sponsorship, mereka boleh menyediakan pasukan lebih baik," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram