[VIDEO] 'Baru best tengok takraw Malaysia, aksi final regu Lembah Klang tanpa import jadi tumpuan


  • Podium
  • Ahad, 13 Okt 2024

Perlawanan akhir GP Perak akan menyaksikan pertembungan menarik antara juara bertahan, KL Thunder bertemu Selangor Pistons.

PERLAWANAN akhir Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 akan menyaksikan dua kelab Lembah Klang bakal membuat perhitungan pasukan manakah yang akan bergelar juara bagi Grand Prix (GP) Perak.

Dua pasukan yang berjaya mara ke final itu ialah juara bertahan, Kuala Lumpur Thunder dan Selangor Pistons.

Kekuatan yang dimiliki oleh KL Thunder tidak boleh disangkal lagi kerana berjaya bergelar juara bagi GP Selangor dan GP Terengganu sebelum ini.

BACA LAGI: STL 2024: Tiga import Thailand 'padu' berjaya curi perhatian penyokong

BACA LAGI: STL 2024: 'Batal atau tidak?' Challenge minit akhir cipta drama aksi Kelantan Warriors-NS Antlers

Tekanan pastinya dirasai oleh pemain muda Selangor Pistons yang julung kalinya berjaya mara ke suku akhir dan tidak menyangka wakil kelab Divisyen 1 itu mampu mencuri slot ke final STL 2024 GP Perak.

Menariknya pertemuan kelab Lembah Klang itu, kedua-dua pasukan dijangka bakal mempertaruhkan rata-rata pemain tempatan.

KL Thunder yang dibarisi oleh Syahir Rosdi (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Amirul Zazwan Amir selaku pengumpan dijangka tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kejuaraan dalam dua GP sebelum ini.

Begitu pun, Selangor Pistons yang mempunyai 'senjata rahsia' iaitu tekong muda berbisa, Zuhri Zain dijangka mampu memberi cabaran sengit kepada KL Thunder.

Dalam pada itu, meninjau ruangan komen, rata-rata penyokong bola rotan itu tidak sabar untuk menyaksikan pertemuan dua pasukan yang memberi kepercayaan kepada pemain tempatan untuk beraksi dalam final STL 2024.

"Baru best tengok takraw semua pemain tempatan, tiada pemain import.. ini baru takraw Malaysia," kata Azizuk Rahman.

"Final pertemuan dua team pemain tempatan, tahniah," kata Hamizan Baharuddin.

"Ini baru betul final sepak takraw Malaysia, terbaiklah pasukan Lembah Klang," kata Amdan Rosdin.

Perlawanan akhir itu akan berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak pada pukul 9.30 malam (Ahad). Manakala penentuan tempat ketiga pula bermula pukul 8 malam hari yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram