NEGERI Sembilan Antlers tiada masalah untuk menewaskan Kelantan Warriors 15-11,15-8 dalam saingan Emas Anuar Liga sepak Takraw (STL) 2024 bagi Grand Prix (GP) Perak di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak pada Rabu.
Suhairi Nordin membariskan Fakhrul Akmal (tekong), Adli Bakar (feeder), Haikal Jamil (killer). Manakala, Negeri Sembilan Antlers mempertaruhkan Haziq Nizam (tekong), Fame Jalil (feeder), Hafizul Hayaki (killer).
Anak-anak buah Shahir Nasrudin memerlukan tempoh hampir 30 minit untuk menewaskan Kelantan Warriors 15-11 dalam set pertama dengan ketajaman Haziq Nizam menghukum skuad dari Pantai Timur itu.
BACA LAGI: Hanya skor aksi friendly, Milos sekali lagi jadi 'bahan' fans Sang Kenari
Rentak kemenangan itu diteruskan Negeri Sembilan Antlers dalam set kedua apabila meraih kemenangan mudah dengan keputusan akhir 15-8.
Bagaimanapun, seperti insiden yang berlaku di GP Terengganu sebelum ini, sekali lagi keputusan pengadil dipertikaikan oleh peminat sukan bola rotan itu.
Dipercayai, pada penghujung perlawanan aksi tersebut ketika Negeri Sembilan Antlers mendahului dengan keputusan semasa 14-7, tekong Kelantan Warriors berjaya meraih satu mata untuk membantu pasukannya menambah poin.
Begitu pun, Negeri Sembilan Antlers yang hanya memerlukan satu mata lagi untuk meraih kemenangan dalam set kedua bagaimanapun meminta Challenge kepada pengadil perlawanan.
Mereka mendakwa, kaki kiri tekong Kelantan dikesan terangkat ketika sedang melakukan servis ke arah lawan dan ia dianggap batal meskipun servis itu gagal disambut dengan baik oleh lawan.
Dalam pada itu, ramai penyokong tidak bersetuju dengan keputusan pengadil memberikan mata kepada Negeri Sembilan Antlers selepas menerima Challenge tersebut.
Susulan insiden tersebut, ramai penyokong tidak bersetuju dengan keputusan yang diberikan oleh pengadil dan mendakwa bahawa kaki tekong tidak terangkat ketika melakukan servis.
“Tak batal sebab hujung kasut tak menyentuh lantai lagi,” kata Muhammad Yusoff Zuyu.
“Mana ada batal kaki tekong, tak terangkat pun, adui pengadil teruk betullah, sejak GP Terengganu lagi isu macam ni,” kata Muhammad Firdaus Hassan.
“Tidak batal, kaki langsung tak terangkat dan tak keluar barisan pun,” kata Pakmuda Yoe.
Bagaimanapun, pengadil mengambil keputusan memberikan mata buat Negeri Sembilan Antlers yang sekali gus menyaksikan mereka menang 15-7 dalam set kedua untuk meraih kemenangan pertama di GP Perak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
