Purple League pernah gegar arena badminton negara, adakah liga profesional akan kembali?


  • Podium
  • Sabtu, 28 Sep 2024

Kali terakhir Purple League diadakan adalah pada 2022.

DALAM arena bola sukan Malaysia, beberapa sukan dilihat mempunyai liga mereka tersendiri.

Sebagai contoh, bola sepak mempunyai Liga Super, sepak takraw dengan Sepak Takraw League dan hoki dengan saingan Liga Hoki Kebangsaan.

Tetapi, situasi yang sama tidak berlaku dalam sukan badminton. Sebagai rekod, saingan badminton di negara kita tidak mempunyai liganya tersendiri.

Akan tetapi, arena badminton Malaysia pernah digegarkan dengan penganjuran Liga Ungu Malaysia atau Malaysia Purple League (Purple League) satu masa dahulu.

BACA LAGI: Pemalu luar gelanggang, Fareez Anuar guna adrenalin tampil berbisa ketika beraksi

BACA LAGI: 'Smash' padu Cheah Liek Hou tuai emas pertama Malaysia di Sukan Paralimpik 2024

Menampilkan bintang dunia

Pada 2014, saingan Purple League mula ditubuhkan dengan ia dianjurkan oleh badan swasta iaitu Purple League Sdn Bhd.

Liga profesional badminton yang menggunakan format round-robin serta play-off secara tiga peringkat itu diadakan secara berpasukan dengan lapan kelab badminton mengambil bahagian.

Majoritinya daripada Selangor, Kuala Lumpur dan Johor. Antaranya adalah Ampang Jaya Badminton Club (BC), Muar City BC serta Kepong BC.

313123162_5456479161135501_335289370206430367_n

Purple League menampilkan kelab-kelab badminton serata Malaysia.

Saingan yang diadakan sekitar Disember hingga Januari tahun itu pernah menarik perhatian dengan ia turut menampilkan beberapa bintang-bintang handalan seperti Datuk Lee Chong Wei, Lee Yong-dae dari Korea Selatan serta pemain Jepun, Kento Momota.

Malah, saingan Purple League juga pernah menjemput kelab-kelab badminton luar negara seperti Candra Wijaya International BC (Indonesia), Ho Chi Minh BC (Vietnam) dan Sena Bangkok Club (Thailand).

Sepanjang penganjurannya sehingga 2022, Puchong United BC dan Muar City merupakan kelab paling banyak meraih kejuaraan sebanyak dua kali. Ampang Jaya merupakan pemenang terakhir.

Adakah saingan serupa di negara lain?

Jika hendak dibandingkan dengan negara-negara lain, kuasa-kuasa besar badminton dunia turut mempunyai liga badminton mereka sendiri.

Sebagai contoh, jiran tetangga, Indonesia turut mempunyai liga yang dinamakan sebagai Superliga Badminton Indonesia. Namun kini, ia berevolusi menjadi liga memfokuskan pemain muda dan dikenali sebagai Superliga Junior.

WhatsApp Image 2024-09-27 at 18.37.24

Superliga Badminton Indonesia kini berubah menjadi Superliga Junior Indonesia.

Sementara China turut mempunyai saingan dikenali China Badminton Super League yang diadakan sejak 2009 dan masih dijalankan sehingga sekarang.

India turut mempunyai saingan badminton mereka sendiri dikenali sebagai Premier Badminton League yang terhenti pada 2020 akibat pandemik Covid-19.

Adakah Purple League akan kembali?

Di saat liga badminton terus berjalan di Indonesia dan China, bagaimana pula dengan Malaysia? Sedangkan saingan Premier Badminton League dijangka kembali pada awal 2025, tetapi untuk pertandingan serupa di Malaysia masih tidak nampak bayangnya.

Umum mengetahui kepentingan kewujudan liga profesional untuk memberikan platform secara berterusan sekali gus melahirkan lebih ramai bintang badminton buat Malaysia.

Malaysia memerlukan saingan liga yang kuat untuk memastikan kita kembali ke landasan tepat untuk menjadi kuasa besar sukan tersebut dan tidak lagi ketinggalan dengan negara-negara lain yang semakin meningkatkan kualiti badminton mereka.

Persoalannya, adakah liga Purple League akan kembali? Atau saingan seumpamanya akan muncul di masa akan datang? Hanya masa akan menentukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram