JOHOR Tigris terpaksa gigit jari selepas hasrat ke separuh akhir Sepak Takraw League (STL) GP Perak berkecai.
Berdepan Selangor Pistons, Johor Tigris melepaskan pendahuluan satu set untuk tumpas dalam rubber game kepada kelab Lembah Klang itu.
Johor Tigris tewas 15-13, 16-17, 7-15 untuk menamatkan saingan GP Perak di suku akhir.
BACA LAGI: STL 2024: 'Batal atau tidak?' Challenge minit akhir cipta drama aksi Kelantan Warriors-NS Antlers
Kekalahan Johor Tigris itu pastinya sukar untuk diterima kerana mereka mendahului selesa di set pertama sambil beberapa kali mempunyai peluang untuk 'membunuh' perlawanan di set kedua.
Tetapi kegagalan untuk 'membunuh' sepenuhnya perlawanan nyata memakan diri apabila momentum mereka terpecah saat kalah set kedua. Di set ketiga, momentum tersebut terus hilang dan ia membolehkan Selangor Pistons memenangi perlawanan.
Rata-rata penyokong Johor Tigris yang menyaksikan perlawanan tersebut kecewa dengan persembahan killer mereka iaitu Syahmi Syazwan Aziz.
Mereka berpendapat persembahan Syahmi tidak cukup sengat untuk mendapatkan mata buat Johor Tigris apabila beberapa kali libasannya lemah.
Malah, ada yang mencadangkan agar Johor Tigris mendapatkan killer baharu dari luar negara untuk menguatkan posisi tersebut.
"Killer Johor Tigris di penghujung set kedua nampak lemah. Bola senang kena block, rejam pun banyak tak lepas dan nampak lemah," komen Ibnu Ahmad.
"Killer Johor Tigris tak cukup padu, banyak bola tak mati," ujar Bahrin Rizman.
"Johor Tigris kena ambil killer dalam kalangan pemain import," komen Zain Hamzah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram