KEGAGALAN skuad kebangsaan Bawah 17 Tahun (B-17) untuk menampilkan aksi bersemangat ketika Piala Asia B-17 menjadi topik perbualan hangat pelbagai pihak.
Meskipun berpeluang mencatatkan kemenangan ketika berdepan Laos, mereka yang menamatkan saingan di tangga ketiga menyaksikan skuad kendalian Osmera Omaro gagal layak ke peringkat kalah mati.
Jadi, penyingkiran berkenaan memaksa satu penilaian mendalam dibuat bagi mencari punca di sebalik pembangunan akar umbi bola sepak negara.
Hal itu bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan perkara sama pernah dilaungkan ketika prestasi mengecewakan skuad B-23 awal tahun lalu.
Ketika mereka beraksi dalam Sukan SEA, tiga kekalahan yang dialami di peringkat kumpulan menyaksikan pasukan tersebut juga berdepan nasib sama seperti skuad B-17.
Rekod terbabit membangkitkan lebih banyak tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan mengenai perancangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menggilap bakat-bakat muda.
Malah, persoalan tersebut juga diajukan terhadap beberapa program pembangunan, seperti Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang tidak dapat menghidu pemain dengan potensi besar.
O'Donell menyatakan hasrat untuk menyaksikan NFDP berada di bawah pengurusan FAM. — Agensi
Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku apabila FAM memasang cita-cita untuk menguruskan perbadanan itu yang ketika ini berada di bawah Program Pembangunan Bola Sepak (NFDP).
Hasrat tersebut diluahkan Pengarah Teknikal badan induk bola sepak tempatan itu, Scott O'Donell dengan beranggapan bahawa pemain-pemain yang berada dalam program terbabit akan beraksi bersama skuad kebangsaan pada masa akan datang.
Tetapi, isu berkenaan menarik perhatian pelbagai pihak yang seperti tidak dapat mencapai kata persetujuan mengenai hasrat persatuan tersebut.
Penganalisis bola sepak tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli juga tidak terkecuali untuk memberikan pandangannya akan hal berkenaan.
"Kalau mereka (FAM) tiba-tiba mahu ambil alih, adakah ia berkaitan dengan kegagalan skuad Sukan SEA yang katanya ramai pemain AMD dan skuad B-17 yang hampir keseluruhannya AMD, adakah disebabkan itu?
"Kekalahan itu sebenarnya ada banyak faktor yang perlu kita lihat kerana kita tidak boleh meletakkan kesalahan itu dengan mengatakan AMD perlu dikendalikan FAM," katanya kepada Majoriti.
Program NFDP sering mencetuskan tanda tanya daripada penyokong bola sepak tanah air. — Agensi
Jelasnya, perubahan pihak pengurusan tidak akan mengesahkan kejayaan segera buat skuad pelapis memandangkan masih ada beberapa hal yang perlu ditambah baik.
Antaranya, kualiti jurulatih yang dimiliki kedua-dua pihak juga perlu dinilai memandangkan aspek tersebut akan memberi kesan besar terhadap kemajuan pemain muda.
Tambah Pekan, kekalahan besar dialami skuad B-17 dan B-23 sebelum ini tidak boleh dijadikan sebab utama bagi perubahan dengan menegaskan ia bukan jawapan tepat.
Selain itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sukan UiTM Shah Alam itu turut menceritakan mengenai peranan kelab-kelab tanah air untuk membangunkan bakat-bakat muda ketika ini.
"Struktur kita sebenarnya yang perlu diperbetulkan kerana ia tidak mempunyai hala tuju yang jelas. Contohnya ketika ini, hanya Johor Darul Takzim (JDT) yang memberi penekanan.
"Kelab-kelab lain yang bermain dalam Liga Super, mereka tidak laksanakannya dan jika mereka memerlukan pemain untuk pasukan belia, mereka akan ambil individu dari luar," katanya lagi.
Bagaimanapun, Pekan juga melihat harapan FAM itu tidak akan memberi impak positif atau negatif memandangkan struktur pembangunan bola sepak tempatan masih lemah.
Ini termasuk menambah baik pelbagai aspek dalaman, termasuk pemilihan staf kejurulatihan melihat kepada bajet yang dimiliki mana-mana pihak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram