MESKIPUN masih belum menambat hati penyokong, sentuhan Nidzam Jamil bersama Selangor FC sudah membuahkan hasil kerana mereka kini berada di tangga kedua Liga Super dan Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two.
Pengendali berusia 44 tahun tersebut pasti perlu berterima kasih kepada barisan kejurulatihan pasukan yang tidak henti membantunya mencari resipi terbaik di atas padang.
Salah seorang daripada 'orang kuat' di belakang Nidzam adalah jurulatih kelahiran Republik Ireland, Conor Nestor yang dipilih sebagai pembantu sebelum permulaan musim 2024/25.
BACA LAGI: Tak berjaya 'trial' dengan Selangor FC, Kobe Jae Chong kini fokus karier baharu?
BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya nak main untuk Selangor', Razman Roslan kata bukan hanya sebab Hamidin suruh keluar
Nestor (kiri) sudah menjadi pembantu Nidzam sejak permulaan musim 2024/25. — Facebook/Selangor FC
Meskipun tidak berpengalaman dalam arena bola sepak tanah air, dia yang pernah bersama beberapa kelab sekitar Asia Tenggara merupakan calon terbaik untuk mendedahkan skuad Gergasi Merah mengenai cabaran di ACL Two.
Namun, baru-baru ini, kejutan melanda kem Selangor FC selepas Nestor difahamkan tidak lagi berada dalam barisan kejurulatihan pasukan selepas dia memilih untuk melebarkan sayap kariernya.
Ini kerana jurulatih berusia 44 tahun berkenaan sudah dilantik sebagai pengendali utama kelab Kemboja, Boeung Ket FC bagi menggantikan Hao Socheat yang baru sahaja meninggalkan posisi tersebut.
Dalam klip berdurasi 45 saat itu, Nestor menceritakan bagaimana dia berasa teruja dengan peluang diterimanya itu di samping menegaskan keputusan menyertai pasukan itu amat penting demi kariernya.
"Saya amat berbesar hati untuk berada di sini. Saya menerima tawaran yang amat sukar untuk ditolak dan saya boleh katakan dari hari pertama saya meninggalkan negara ini, saya sudah amat merindui suasana bola sepak di Kemboja," katanya.
Untuk rekod, sebelum ini, Nestor pernah mencuba nasib di negara tersebut bersama Svay Rieng FC dengan dia berjaya membantu kelab berkenaan menjuarai liga utama mereka.
Selepas itu, dia menyertai Hyderabad FC di Liga Super India sebagai jurulatih teknikal dengan dia memegang jawatan tersebut selama hanya beberapa bulan sebelum berkhidmat di bawah Nidzam Jamil di Selangor FC.
Setakat ini, kelab Lembah Klang berkenaan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai penghijrahannya dengan mereka pasti mahu mencari seseorang yang berpengalaman untuk mengisi kekosongan terbabit.
Calon seperti bekas pembantu Tan Cheng Hoe, Ramon Marcote sudah tentu menjadi idaman kerana dia juga terlibat bersama skuad Gergasi Merah pada saingan musim 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram