PAHANG Rangers secara rasminya diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga Piala Futsal Malaysia 2023 selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC dengan keputusan 4-2 di Axiata Arena dekat Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad.
Meskipun tidak dapat mempertahankan gelaran juara Piala Futsal Malaysia 2024, Pahang Rangers sekurang-kurangnya berhasil mendapat kedudukan di tempat ketiga kejohanan.
Pasukan kendalian Luis Fonseca dilihat menguasai perlawanan pada separuh pertama namun segala percubaan gagal diterjemahkan dengan baik untuk meletakkan mereka di hadapan.
BACA LAGI: [VIDEO] Pernah rantai Garnacho, media Indonesia percaya cuma Asnawi seorang mampu kekang Arif Aiman
BACA LAGI: Fabrizio Romano petik nama JDT, TMJ 'masuk' beri respons emoji hati merah, biru
Tonggak bintang import Pahang Rangers, Guntur Sulistyo Sriwibowo juga tidak bernasib apabila mengalami pendarahan di wajahnya selepas diasak oleh pemain pasukan Warga Kota.
Insiden berdarah pada minit ke-15 itu menyebabkan pemain kebangsaan futsal Indonesia tersebut terpaksa dikeluarkan dan digantikan dengan pemain lain.
Pasukan kendalian Jerry Dinesh meraih gol pertama perlawanan menerusi percubaan dari tonggak tengah mereka iaitu Hussain Khademi untuk memberikan kelebihan kepada pasukan Warga Kota.
Beberapa cara dan gerakan digunakan oleh barisan pemain Pahang Rangers dan ia membuahkan hasil apabila Harith Na’im meraih gol penyamaan berbaki sebelum 10 saat terakhir.
Bersambung babak kedua, pasukan Pantai Timur berkenaan hampir mendapatkan gol kedua namun pertahanan KL City sukses menghalang Pahang Rangers daripada mendahului perlawanan.
Tidak lama selepas itu, Harith Na’im sekali lagi menjadi pembunuh kegembiraan KL City selepas dia berhasil mendapatkan gol kedua Pahang apabila ledakannya menewaskan penjaga gawang Warga Kota, Amiro Izzat.
Sorakan dari penyokong Pahang Rangers semakin bergema di Axiata Arena apabila pemain gantian, Tuah Eizlan memberikan tuah kepada pasukan untuk membantu mereka mendapatkan gol ketiga.
Kekasaran yang dilakukan oleh pemain Pahang Rangers, Saiful Nizam menyebabkan pengadil perlawanan memberikan sepakan penalti dan ia berhasil disempurnakan oleh Dodie Al-Fareq.
Pahang Rangers mengakhiri kemenangan dengan meraikan gol keempat mereka daripada Nazreen Saudi yang melepaskan rembatan dari jarak jauh.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram