[VIDEO] 'Saya nak main untuk Selangor', Razman Roslan kata bukan hanya sebab Hamidin suruh keluar


  • Podium
  • Jumaat, 04 Okt 2024

Razman (kanan) lahir daripada sistem bola sepak Selangor.

BEKAS kapten Selangor FC, Mohd Razman Roslan mendedahkan punca utama dia meninggalkan Gergasi Merah pada 2012 meskipun ketika itu berada di puncak prestasi sepanjang kariernya.

Menerusi podcast Bola Dulu Baru Kamu! terbitan Astro Arena, Razman buat pertama kalinya berkongsi secara umum mengenai kisah perpindahan dia ke Sri Pahang selepas ingin memberi laluan buat pemain muda.

Untuk rekod, Razman lahir daripada ekosistem bola sepak Selangor sebelum melakukan penampilan pertama bersama skuad utama pada 2004.

BACA LAGI: Piala Agong 2024: Selangor tetap hormati lawan, layak peringkat kalah mati bersama pemain SUKMA

BACA LAGI: Tak berjaya 'trial' dengan Selangor FC, Kobe Jae Chong kini fokus karier baharu?

Hampir sembilan tahun berbakti buat negeri kelahiran, Razman akhirnya terpaksa meninggalkan pasukan selepas satu perjumpaan bersama Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang ketika itu menjawat jawatan Setiausaha Selangor FA.

Kemasukan Mahali Jasuli daripada Harimau Muda pada 2013 ke Selangor menjadi sebab utama Razman terpaksa meninggalkan kem Gergasi Merah.

Berkongsi dalam podcast yang dihoskan oleh bekas pemain kebangsaan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, Razman berkata, cerita mengenai penghijrahannya itu juga tidak diketahui oleh Mahali.

Razman Roslan

Razman (jersi nombor 13) beraksi bersama Pahang selepas meninggalkan Selangor pada 2012.

"Sebelum itu saya dengan Mahali ini ada satu cerita yang mungkin dia pun tidak tahu.

"Kenapa saya keluar daripada Selangor? 2012 saya main untuk Selangor, saya dengan Bunyamin Umar, saya main 'right back' waktu itu.

"Saya dengan Bun (Bunyamin), 'coach' Irfan Bakti hujung tahun nak masuk 2013, masa itu Tan Sri Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM) Setiausaha Selangor panggil.

"Beliau cakap, Man (Razman) kau kena keluar daripada Selangor. Saya tanya balik kenapa?

"Beliau cakap sebab pertama, ada seorang pemain nak datang balik Selangor dan kedua kau tak ada dalam perancangan Irfan Bakti," kongsinya dalam Bola Dulu Baru Kamu!

Razman Selangor

Razman kembali semula ke Selangor pada 2016.

Tambahnya lagi, dia berkeras untuk bersama Selangor meskipun tiada dalam perancangan kerana mahu beraksi untuk negeri kelahiran.

"Saya cakap dalam perancangan tak ada tak apa, sebab saya boleh 'fight' tempat tapi satu pemain nak balik itu yang saya kena keluar.

"Saya tanya siapa pemain itu? Tan Sri kata, Mahali Jasuli. Sebab itulah saya keluar Selangor pada 2012.

"Saya dah cakap dengan Tan Sri, saya nak main Selangor sebab saya anak jati, tapi Tan Sri waktu itu kata, kau tak ada tempat, nak tak nak kena keluar.

"Selepas itu saya pergi ke Pahang, tapi Alhamdulillah rezeki saya ada dekat sana (Pahang). Lepas itu saya balik Selangor semula.

"Itulah kisahnya saya keluar daripada Selangor," jelasnya.

Untuk rekod, Razman mempunyai pencapian karier yang baik sepanjang bergelar pemain bola sepak dengan memenangi kesemua kejuaraan domestik Liga Malaysia.

Selain itu, bekas pemain berusia 40 tahun juga antara bintang yang membantu skuad kebangsaan menjuarai Piala AFF 2010 di samping mendapat anugerah pertahanan terbaik pada 2014 bersama Sri Pahang.

Kali terakhir Razman beraksi bersama Melaka United sebelum membuat keputusan untuk menggantung but pada 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram