MASALAH kewangan yang dihadapi oleh Kedah Darul Aman FC masih tidak menunjukkan tanda-tanda akan menemui perkembangan positif.
Sebelum ini, isu kewangan kelab dilihat tidak menunjukkan sebarang perkembangan hinggakan pemain-pemain Sang Kenari memboikot latihan dan tidak turun beraksi berdepan Kuala Lumpur City FC.
Tindakan tersebut membuatkan Kedah tiada pilihan selain terpaksa menghantar skuad muda mereka berdepan KL City dan kemudiannya tewas 0-5 di tempat lawan.
BACA LAGI: Tiada rotan, akar pun berguna, fans Kedah lapang dada lihat skuad muda jadi pilihan Nafuzi
Nafuzi (dua dari kiri) dilihat akan berpindah ke kelab lain.
Namun begitu, keadaan dilihat bertambah positif apabila pemain-pemain senior sudah kembali berlatih untuk perlawanan bertemu Sri Pahang FC di laman sendiri pada Jumaat.
Ia mungkin memberikan petanda yang situasi di skuad Kedah mungkin sudah bertambah baik, namun masih ada khabar angin kurang elok mula didengar.
Terdapat spekulasi mengatakan yang Kedah dijangka bakal kehilangan dua watak penting iaitu Nafuzi Zain dan Ahmad Fauzi Saari dalam masa terdekat.
Jurulatih dan koordinator pasukan Sang Kenari tersebut dilaporkan bersedia meninggalkan Kedah selepas aksi berdepan Sri Pahang selesai.
Berkemungkinan, kedua-dua figura penting skuad Kedah itu sudah tidak tahan lagi dengan situasi kewangan yang meruncing melibatkan kelab.
Jika benar Nafuzi dan Fauzi meninggalkan Sang Kenari, ia pasti memberikan tamparan hebat buat Kedah dalam usaha memastikan saingan musim ini dapat diharungi dengan baik.
Mereka sudah kehilangan Habib Haroon, Fikri Che Soh dan Kalamullah Al-Hafiz, sudah pasti Sang Kenari tidak mahu pula kehilangan Nafuzi serta Fauzi pula. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram