SEORANG pemain bola sepak mewakili pasukan amatur Dungun FA maut selepas terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 5, Jalan Dungun-Bukit Besi berhampiran Kampung Che Lijah, di Dungun, Terengganu pada Isnin.
Nahas berlaku pada pukul 10.35 malam itu melibatkan motosikal jenis Honda RSQ50R yang ditunggang mangsa, Muhammad Aidi Kasim, 25, dan sebuah Perodua Alza dan Perodua Myvi yang masing-masing dipandu lelaki berusia 19 dan 24 tahun.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, mangsa yang turut bertugas sebagai polis bantuan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa sedang menunggang motosikal menghala ke tempat kerjanya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Bukit Besi tidak sempat mengelak Perodua Alza yang berada di bahu jalan sebelah kiri yang secara tiba-tiba masuk ke laluan motosikal itu," katanya dalam satu kenyataan.
Ucapan takziah daripada Persatuan Bola Sepak Daerah Dungun susulan pemergian Allahyarham Muhammad Aidi dalam kemalangan pada Isnin. — Facebook
Maizura berkata, mangsa tidak sempat mengelak kenderaan tersebut kerana jarak yang terlalu dekat sehingga menyebabkannya terlanggar bahagian tepi sebelah kanan Alza terbabit.
Pada masa sama, sebuah Perodua Myvi dari arah Dungun kemudiannya merempuh Muhammad Aidi yang terjatuh di atas jalan.
Katanya, impak rempuhan tersebut menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dengan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan selanjutnya.
Ujar beliau, pemandu Alza dan Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Maizura berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram