'Dengan situasi sekarang, tak pelik kalau Nafuzi Zain angkat kaki'


  • Podium
  • Selasa, 24 Sep 2024

Nafuzi dikatakan semakin hampir meninggalkan Kedah.

SPEKULASI mengenai Kedah Darul Aman FC masih belum reda. Jika ia tidak melibatkan masalah kewangan, pasti berkenaan pemergian pemain dari kelab itu.

Setakat ini, Kedah sudah kehilangan beberapa pemain seperti Habib Haroon, Fikri Che Soh serta Kalamullah Al-Hafiz. Namun begitu, Sang Kenari bukan setakat boleh hilang pemain sahaja.

Terdapat spekulasi yang mengatakan pengendali, Nafuzi Zain serta koordinator pasukan, Ahmad Fauzi Saari akan meninggalkan kelab selepas aksi bertemu Sri Pahang FC pada 20 September lalu.

BACA LAGI: Game Sri Pahang jadi penentu, Nafuzi Zain, Fauzi Saari dicanang makin hampir tinggalkan Kedah?

BACA LAGI: 'Kekalkan Nidzam Jamil', fans Selangor tolak khabar angin Nafuzi Zain tinggal KDA sertai Gergasi Merah

2920738

Nafuzi (kiri) dan Fauzi (kanan) dilaporkan bakal tinggalkan Kedah.

Spekulasi itu bertiup kencang terutamanya jika Kedah kalah tempoh hari, pastinya Nafuzi dan Fauzi akan meninggalkan kelab serta merta.

Tetapi, keputusan berakhir dengan seri. Bagaimanakah dengan masa depan mereka terutamanya Nafuzi?

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley, dia tidak menolak spekulasi tersebut dengan berasakan Nafuzi boleh meninggalkan Kedah pada bila-bila masa.

Dengan khabar angin mengatakan gaji masih tidak diterima oleh pemain dan pegawai, Afiq berpendapat tindakan logik untuk Nafuzi lakukan adalah meninggalkan Sang Kenari.

"Dengan situasi sekarang ni, tak pelik pun kalau Nafuzi angkat kaki. Dia ada nama. Duduk di Kedah pun reputasi dia atas padang masih okay. Cuma di belakang saja tunggakan (gaji).

"Gaji tak masuk-masuk adalah alasan kukuh untuk Nafuzi, serta pemain tinggalkan kelab," kata Afiq kepada Majoriti.

Afiq memberikan bayangan hanya masa saja menentukan jodoh Nafuzi bersama Kedah dengan dia berasakan pengendali itu akan meninggalkan kelab pada bila-bila masa.

Mencongak destinasi seterusnya, Afiq berpendapat Nafuzi boleh kembali semula ke negeri kelahirannya iaitu Kelantan atau jika dia sudah bersedia, Nafuzi boleh mencuba nasib untuk menembusi skuad kebangsaan.

"Jika dia tinggalkan Kedah, saya boleh jangkakan Nafuzi untuk menyertai Kelantan Darul Naim kerana ia adalah kelab negeri kelahirannya sambil mereka mempunyai barisan pemain berkualiti cuma tidak mendapat keputusan yang dimahukan.

"Atau Nafuzi boleh mencuba untuk menyertai skuad kebangsaan. Pengalamannya di peringkat Liga Super sudah cukup membuatkan dia bersedia untuk mengendalikan Harimau Malaya selepas ini," ujar Afiq. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram