SAINGAN Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 bagi Grand Prix (GP) Perak bakal membuka tirainya tidak lama lagi.
Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak itu akan menyaksikan 12 pasukan Liga Premier sekali lagi berentap untuk merebut gelaran juara bagi GP Perak yang akan bermula pada Rabu.
Menariknya aksi tersebut, Kumpulan D dilihat bakal menjadi tumpuan peminat bola rotan itu apabila membariskan pasukan hebat seperti juara bertahan GP Selangor dan GP Terengganu, KL Thunder, ATM Guardians serta Penang Black Panthers.
BACA LAGI: [VIDEO] Tak kisah 'lambat panas', strategi pemain muda Penang Black Panthers semakin digeruni
Penang Black Panthers meraih tempat keempat GP Terengganu selepas tewas kepada PDRM Defenders.
Meskipun diundi dalam kumpulan maut, pengurus Penang Black Panthers, Mohd Hasnul Hadi Abdul Rashid mendedahkan bahawa pasukannya tidak tertekan dengan jadual peringkat kumpulan itu.
Menurutnya, anak-anak buahnya kini sedang dalam persiapan yang baik untuk mengharungi kumpulan maut itu.
Mohd Hasnul berkata, pasukannya mempunyai peluang untuk meraih kemenangan sekiranya menggunakan taktikal yang sesuai.
"Tapi saya rasa kalau kita kuatkan bahagian pertahanan, Insya-ALLAH kita boleh menang.
"Jadi, perancangan kami untuk berdepan KL Thunder ini, kami hanya perlukan kuat bahagian pertahanan," katanya kepada Majoriti.
Meskipun di atas kertas keputusan berpihak kepada KL Thunder, namun Mohd Hasnul berkata, pihaknya mempunyai perancangan tersendiri untuk menundukkan cabaran kelab Lembah Klang itu.
"Kita pun tak tahu kelemahan KL Thunders sebab lawan Thailand pun mereka boleh menang apatah lagi kelab di Malaysia.
"Walaupun agak sukar untuk kita tahan servis Syahir dan rejaman Azlan tapi kami akan buat yang terbaik aksi GP Perak nanti," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram