PEMAIN pertahanan versatile Harimau Malaya, Dion Cools terlepas perlawanan persahabatan menentang New Zealand di Stadium North Harbour, Auckland pada 14 Oktober atas sebab peribadi.
Begitupun, pemain tengah pasukan kebangsaan, Syamer Kutty Abba, tidak melihat ketiadaan kapten Harimau Malaya, Cools dalam aksi tersebut sebagai masalah besar untuk pasukan.
Menurut Syamer, ramai pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya memiliki kemampuan untuk mengisi posisi yang ditinggalkan oleh Cools.
BACA LAGI: Masih tercari-cari rentak di Vietnam, Dos Santos akui New Zealand lawan yang sukar
BACA LAGI: Dion Cools tak dapat turun, ramai risau Chris Wood bermaharajalela ledak gawang Harimau Malaya
Feroz Baharuddin (dua kiri) antara pemain yang sesuai untuk menggantikan posisi Cools. — Facebook/FAM
“Ini bukan masalah kerana kami mempunyai pemain lain yang boleh mengisi peranan Cools dan ini merupakan peluang bagi pemain lain untuk tampil dan membuktikan mereka layak bermain untuk pasukan.
“Cools biasanya berpasangan dengan Dominic Tan, tetapi pemain lain seperti Feroz Baharuddin (Johor Darul Ta’zim), Harith Haiqal Adam Afkar (Selangor FC) dan Safwan Mazlan (Terengganu FC) akan mengambil alih peranan tersebut,” katanya.
Syamer berkata, perlawanan menentang New Zealand akan menjadi platform yang baik untuk mengukur peningkatan mereka dalam beberapa bulan ini.
“Ini adalah persediaan terbaik untuk melihat sejauh mana kami telah berkembang dalam permainan. Matlamat kami adalah untuk menang.”
Sementara itu, Ketua jurulatih, Pau Marti Vicente, juga kekal positif.
“Ketiadaan Cools tidak akan memberi kesan kepada kami kerana semua pemain mempunyai peranan penting. Kami adalah pasukan yang kuat. Jika ada yang tidak hadir, kami mempunyai pengganti yang berkebolehan.
“Kami mempunyai banyak pemimpin selain Cools, Matthew Davies akan mengambil alih jawatan kapten. Syamer juga mempunyai sifat kepimpinan, jadi mereka boleh saling membantu,” kata jurulatih dari Sepanyol itu.
Malaysia juga akan beraksi menentang sebuah kelab dari New Zealand dalam perlawanan persahabatan pada Jumaat (11 Oktober). — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram