[VIDEO] Berjaya pikat Jese Rodriguez, fans JDT pernah 'bermimpi di siang hari' tentang 3 bintang kelas A


  • Podium
  • Isnin, 07 Okt 2024

Radamel Falcao sebelum ini dikatakan akan menjadi pemain import JDT. — Instagram/TMJ

PASUKAN gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Takzim (JDT) sentiasa mencuri perhatian pemerhati bola sepak dengan kelengkapan fasiliti bertaraf dunia dan prestasi memberangsangkan dipamerkan kelab tersebut.

Ditambah pula dengan kedatangan beberapa pemain import terkemuka, membuatkan kelab itu semakin berjaya mengukuhkan kedudukan skuad tersebut selaku antara pasukan terkemuka di rantau Asia.

Harimau Selatan yang dibarisi ramai pemain kebangsaan ketika ini, dilihat semakin rancak dalam membawa masuk import 'class A' di Johor sebagai salah satu resipi untuk beraksi di Kejohanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) tahun ini.

BACA LAGI: Dah cakap sejak 10 tahun lepas, 90 peratus padang dalam negara masih teruk — TMJ

BACA LAGI: 'Terima kasih Bos', belum sampai 24 jam, Jese Rodriguez buat fans Harimau Selatan teruja

Bekas pemain Real Madrid, Jese Rodriguez menjadi pemain terbaharu yang dibawa JDT untuk memperkuatkan pasukan.

Namun begitu, sebelum penyokong JDT dapat merasai kegembiraan kemasukan pemain berkelas dunia seperti Jese, mereka pernah berdepan pengalaman berbeza.

Penyokong Harimau Selatan beberapa kali telah terkena 'scam' oleh pemain berstatus bintang apabila berita kemasukan mereka ke JDT diibaratkan umpama 'mimpi di siang hari'.

Berikut merupakan tiga pemain berstatus bintang yang pernah dikhabarkan hampir menyertai JDT:

1. Camilo Sanvezzo

Penyerang kelahiran Mexico, Camilo Sanvezzo sebelum ini dikatakan hampir pasti menyarung jersi JDT bagi musim 2021.

Perkara itu disahkan sendiri oleh pemiliknya, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri yang mengumumkan Sanvezzo sebagai penyerang baharu JDT di samping Gonzalo Cabrera dan Fernando Rodriguez sebagai penyerang import.

Namun, perkara itu dinafikan oleh media terkemuka di Mexico yang melaporkan bahawa Sanvezzo membuat keputusan untuk kekal di Mazatlan FC meskipun mendapat tawaran dari luar negara khususnya Malaysia.

Kini, pemain berusia 36 tahun itu sudah pun bersara dan kelab terakhirnya ialah Queretaro FC dan merupakan tonggak utama skuad berkenaan pada musim lalu.

2. Mehdi Benatia

Bekas pemain Juventus, Mehdi Benatia sebelum ini juga antara yang dikaitkan ke JDT pada 2019 susulan perkongsian gambar dimuat naik TMJ bersama pemain pertahanan antarabangsa Maghribi tersebut.

Pemilik pasukan itu pernah memuat naik gambar bersama Mehdi Benatia dengan ciapan seolah-olah menggambarkan kedatangan pemain itu ke Harimau Selatan.

"Salah seorang pemain pertahanan terbaik di Roma, Bayern dan Juventus. Pemain terbaik di dunia, gembira bertemu kamu dan jumpa di Johor kelak.

Dalam masa yang sama, TMJ turut menulis kapsyen: "@mausantos33 @adamazlin09. Saya sudah jumpa rakan sepasukan baharu buat kalian," ciapnya di Instagram.

Namun, perkara itu tidak menjadi realiti apabila berita itu semakin dilupakan dan tiada sebarang maklumat lanjut berkenaan perpindahan pemain sehingga Benatia rasmi menggantung but pada 2021.

3. Radamel Falcao

Sebelum ini, peminat JDT dikejutkan dengan perkhabaran bekas penyerang Manchester United dan Chelsea, Radamel Falcao yang dikatakan akan menjadi pemain import kelab tersebut.

Namun, harapan itu musnah sekelip mata apabila pemain itu melanjutkan kontrak bersama kelab La Liga, Rayo Vallecano untuk tempoh semusim lagi pada musim lalu.

Perkembangan itu sekali gus menamatkan spekulasi yang bertiup sebelum ini bahawa pemain Colombia itu akan membuat penampilan bersama Harimau Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram