Tak berjaya 'trial' dengan Selangor FC, Kobe Jae Chong kini fokus karier baharu?


  • Podium
  • Jumaat, 27 Sep 2024

Pengalaman Kobe beraksi di liga bawahan bersama beberapa kelab ditagih oleh Dominance Sports Group untuk menarik lebih ramai lagi pemain muda bersama agensi itu.

PEMAIN warisan Kobe Jae Chong dilihat kini giat mempromosikan sebuah agensi ejen pemain bersama beberapa individu lain yang berpangkalan di England.

Kobe yang sebelum ini dipercayai menjalani ujian percubaan bersama Selangor FC dilihat tidak berjaya menambat hati barisan kejurulatihan Gergasi Merah sebelum pulang ke negara kelahirannya itu.

Pemain berusia 23 tahun itu kini sedang beraksi bersama St. Ives Town FC di liga divisyen bawahan England.

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah cecah nilai lebih 1 juta Euro, saham 3 pemain prolifik jatuh mendadak selepas sertai Liga Super

BACA LAGI: [VIDEO] Jaringan Brendan Gan imbau derita bersejarah Indonesia

Ia menjadikan kelab ke-16 buat Kobe selepas dilepaskan oleh Cagliari Calcio yang kini sedang bergelut dalam liga saingan utama Itali, Serie A.

Selepas karier yang tidak stabil bersama beberapa kelab, Kobe menerusi Instagramnya dilihat membantu Dominance Sports Group untuk merekrut pemain-pemain muda yang beraksi di England.

Beberapa pemain muda yang beraksi di kelab ternama England seperti Manchester United, Brentford FC, Wolverhampton Wanderers dan pasukan liga bawahan menjadi sasaran agensi tersebut.

Antara urusan terbesar yang pernah dibuat oleh agensi itu setakat ini ialah menguruskan perpindahan pemain Ajay Thomas Weston dari Hull City ke Bolton FC dengan kontrak selama dua tahun.

Pengalaman Kobe beraksi di liga bawahan bersama beberapa kelab ditagih oleh Dominance Sports Group untuk menarik lebih ramai lagi pemain muda bersama agensi itu.

Selain itu, ia boleh menjadi pelan jangka panjang Kobe untuk kariernya di masa depan sebagai ejen pemain bola sepak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram