'Bagilah budak baharu merasa', fans Selangor optimis skuad futsal bangkit sapu bersih piala musim depan


  • Podium
  • Isnin, 07 Okt 2024

Penyokong menyeru agar skuad futsal Selangor bangkit bagi saingan musim depan. — FAM

SKUAD futsal Johor Darul Ta'zim (JDT) meraih kejuaraan berganda musim ini apabila muncul juara Piala Futsal Malaysia 2024 selepas menewaskan Selangor 3-2 dalam aksi final di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad.

JDT sebelum ini mengesahkan kejuaraan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 pada September lepas.

Dalam aksi final Piala Futsal Malaysia 2024 pada Ahad, skuad kendalian Juan Antonio Miguel Garcia bermula garang apabila membuka tirai jaringan di awal perlawanan menerusi pemain importnya Bruno Taffy Nogueira Aguiar.

Tersentak dengan gol itu, Selangor memperkemaskan corak permainan dan berjaya menembusi benteng JDT sebelum tamat perlawanan separuh masa pertama menerusi pemain tengah Selangor, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan untuk menyamakan kedudukan 1-1.

BACA LAGI: [VIDEO] Chris Wood beri amaran awal buat Harimau Malaya selepas robek gawang Chelsea

BACA LAGI: [VIDEO] Berjaya pikat Jese Rodriguez, fans JDT pernah 'bermimpi di siang hari' tentang 3 bintang kelas A

Sejurus separuh masa kedua bermula, Mohd Firdaus Ambia meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-27 sebelum Mohd Azwan Ismail menambah jaringan ketiga pada minit ke-33.

Gergasi Merah cuba merapatkan jurang menerusi Muhammad Aidil Shahril Rosli dua minit kemudian namun jaringan itu tidak cukup untuk menghalang JDT daripada menjulang kejuaraan pertama Piala Futsal Malaysia dengan kemenangan 3-2.

Melihat JDT menjuarai kejuaraan berganda musim ini, rata-rata penyokong Selangor mahu pihak pengurusan bangkit dan merampas semula trofi yang dimenangi oleh Harimau Selatan itu.

"Bagi budak (pasukan) baharu merasa piala, bagi Selangor merasa dua piala tahun depan. Kami sapu bersih," kata Najmi Yusni.

"Tahniah semua pemain anda dah buat yang terbaik, cuma belum ada rezeki. Dari mula liga serba tak kena, tapi akhir liga nombor dua dan berjaya ke final itu dah membanggakan kami," ujar Fakhrul Zainuddin.

"Permainan memang sedap, dua-dua pasukan banyak peluang gol. Tapi bukan rezeki kita, tahun depan 'fight' balik untuk juara," jelas H.Hafiz.

"Tak apa 'guys', jangan tunduk terus bangun. Musim depan bangkit dengan lebih kuat," luah Ysffhmi.

Untuk rekod, Selangor pernah menjuarai MPFL pada 2019 dan 2022 sebelum dominasi itu dipecahkan oleh Pahang Rangers musim lalu.

Tahun ini, JDT berjaya menebus semula kekecewaan mereka musim lalu apabila mengondol dua kejuaraan iaitu MPFL dan Piala Futsal Malaysia 2024 setahun selepas kehadiran Harimau Selatan dalam arena futsal negara.

Malah selepas final pada Ahad, JDT tanpa segan silu juga dilaporkan berhasrat untuk membawa tiga pemain Selangor ke kem Harimau Selatan pada musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram