[VIDEO] Tak kisah drama gol ke-3 JDT, coach futsal Selangor hargai sokongan padu fans di Axiata Arena


  • Podium
  • Ahad, 06 Okt 2024

Antara momen perlawanan JDT menentang Selangor FC bagi saingan Piala Futsal Malaysia 2024. — Facebook/FAM

PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan status mereka selaku jaguh futsal tanah air dengan menjulang trofi Piala Futsal Malaysia selepas menewaskan Selangor FC dengan keputusan 3-2 pada Ahad.

Pada aksi final di Axiata Arena dekat Bukit Jalil berkenaan, kedua-dua pasukan mempamerkan saingan cukup kompetitif apabila saling berbalas serangan dengan gerakan cantik dihasilkan oleh dua kuasa besar itu.

JDT mula mendahului seawal minit keempat menerusi jaringan dari pemain import mereka iaitu, Bruno Taffy dengan ia merupakan jaringan kelima tonggak berkenaan bagi kejohanan Piala Futsal Malaysia.

BACA LAGI: Sudah ada nama, JDT nekad ‘sailang’ beberapa bintang Selangor jika berpeluang

BACA LAGI: Coach Pahang tidak puas hati nombor 3, buru pemain baharu MPFL 2025

Tersentak dengan gol itu, skuad kendalian Edgar Eder memperkemaskan corak permainan dan mula mengatur beberapa percubaan bahaya ke gawang JDT namun gagal untuk meraih sebarang jaringan.

Berbaki tiga minit sebelum separuh masa pertama berakhir, benteng JDT akhirnya berjaya ditembusi menerusi pemain tengah Selangor, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Sejurus separuh masa kedua bermula, Mohd Firdaus Ambia meletakkan di Harimau Selatan di depan dengan ia merupakan jaringan keempatnya dalam saingan Piala Futsal Malaysia.

Berbaki tujuh minit lagi sebelum babak kedua berakhir, pertahanan Harimau Selatan iaitu Mohd Azwann Ismail menambah jaringan ketiga mereka.

Jaringan daripada Mohd Azwann jelas titan menggembirakan penyokong naib juara MPFL 2024 itu apabila berlaku kekecohan dalam kalangan peminat Gergasi Merah.

Pentas final antara dua pasukan tersebut bertambah hangat apabila berlaku pertembungan antara pemain tengah Selangor iaiatu Aidil Shahril dan import Harimau Selatan, Garcia Rego.

Pertembungan merebut bola itu menyaksikan Garcia terpaksa diusung keluar oleh pasukan perubatan Harimau Selatan dan posisinya digantikan dengan pemain lain.

Gergasi Merah cuba merapatkan jurang menerusi Muhammad Aidil Shahril Rosli dua minit kemudian namun jaringan itu tidak cukup untuk menghalang JDT daripada menjulang kejuaraan pertama Piala Futsal Malaysia dengan kemenangan 3-2.

Meskipun gagal membawa pulang trofi, Edgar dilihat terus menyapa penyokong Selangor yang hadir ke Axiata Arena sebagai tanda penghargaan buat mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram